Gantung pengeluaran model Mazda, Toyota hanya babit pasaran Jepun

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Penggantungan empat model Mazda dan tujuh jentera keluaran Toyota termasuk yang sudah ditamatkan pengeluarannya hanya membabitkan pasaran domestik Jepun.

Mazda Motor Corporation dalam satu kenyataan, berkata lima model keluarannya iaitu Atenza (Mazda 6), Axela (Mazda 3), Roadster RF dan Mazda2 dikenal pasti terbabit dalam proses ujian kenderaan yang tidak teratur untuk pasaran Jepun sahaja.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Atenza (Mazda 6), dan Axela (Mazda 3) sudah ditamatkan pengeluaran di Jepun sejak 2018 dan 2019, manakala Roadster RF dan Mazda 2 pula digantung pengeluaran.

"Bagi tiga model yang sudah tidak dikeluarkan lagi, kami telah melaksanakan proses pengesahan teknikal dalaman termasuk menguji semula dan mengesahkan bahawa semua model ini memenuhi piawaian undang-undang ke atas perlindungan penumpang sekiranya berlaku pelanggaran hadapan.

"Tiada isu keselamatan untuk pelanggan terus memandu kenderaan berkenaan. Kami akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat pengesahan pematuhan undang-undang serta peraturan dengan berunding dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun," katanya.

Bagi model Roadster RF dan Mazda2 pula, kenyataan itu menyebut, ia tiada kaitan dengan isu keselamatan kenderaan.

Pegawai Kementerian Pengangkutan Jepun memasuki ibu pejabat Toyota Motor Corp untuk siasatan berhubung penyelewengan pensijilan di Toyota, tengah Jepun, 4 Jun 2024. Foto REUTERS/Kyodo

"Kami akan melakukan ujian sekali lagi dan bersedia untuk menjalani pemeriksaan semula oleh pihak berkuasa.

"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan kebimbangan yang mungkin berlaku kepada pelanggan yang sedang menantikan penghantaran kenderaan mereka," katanya.

Berdasarkan semakan BH, semua kenderaan Mazda dan Toyota yang terbabit dalam isu dikatakan amalan penipuan dalam ujian persijilan kebangsaan hanya untuk pasaran Jepun sahaja.

Difahamkan, setiap negara memiliki piawaian dan peraturan berbeza, termasuk setiap model (walaupun namanya dikekalkan mengikut negara induk pengeluar) juga memiliki spesifikasi berbeza.

Sementara itu, Pengerusi Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda, berkata siasatan masih diteruskan dan kumpulan telah mengenal pasti tujuh model termasuk model yang telah ditamatkan pengeluarannya sejak 2014.

Katanya, kumpulan itu telah diuji dengan kaedah yang berbeza daripada piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Perkara ini membabitkan dua syarikat iaitu Toyota Motor Corporation dan Toyota Motor East Japan.

"Semua kes adalah berkaitan dengan persijilan. Sistem persijilan di Jepun mengesahkan sama ada produk memenuhi piawaian ditetapkan terutama dalam aspek keselamatan dan alam sekitar," katanya.

Berdasarkan dapatan siasatan, Toyota memutuskan untuk menghentikan sementara penghantaran dan jualan tiga model daripada pengeluaran semasa di Jepun iaitu Corolla Fielder, Corolla Axio dan Yaris Cross berkuatkuasa 3 Jun 2024.

Bagaimanapun, untuk pasaran Malaysia, Bermaz Auto Bhd dan UMW Toyota Motor Sdn Bhd tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.

Semalam, gergasi automotif Jepun, Toyota dan Mazda, menggantung pengeluaran model kereta berikutan penemuan amalan penipuan dalam ujian persijilan kebangsaan, susulan pendedahan skandal penipuan yang membabitkan lima pengeluar kenderaan utama Jepun, lapor Xinhua.

Berikutan arahan Kementerian Pengangkutan Jepun untuk menghentikan penghantaran model yang terjejas, Toyota Motor Corporation menghentikan pengeluaran tiga model, termasuk Yaris Cross, di kilangnya di Wilayah Miyagi dan Iwate, dengan penggantungan dijangka sehingga 28 Jun.

Sementara itu, Mazda Motor Corporation menghentikan pengeluaran dua model, termasuk Mazda2, di kilangnya di Wilayah Hiroshima dan Yamaguchi.

Penggantungan itu berlaku selepas Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan mendedahkan bahawa Toyota, Honda Motor, Mazda, Yamaha Motor dan Suzuki Motor terlibat dalam amalan penipuan haram semasa permohonan persijilan pengeluaran besar-besaran mereka.

Dengan kesan gabungan yang besar terhadap rantaian bekalan kedua-dua syarikat, gangguan ini menimbulkan kebimbangan besar untuk ekonomi serantau, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi sebahagian penting dalam rangkaian bekalan, menurut laporan media tempatan.

Dianggarkan penggantungan pengeluaran ini menjejaskan lebih 1,000 pembekal untuk Toyota dan kira-kira 300 untuk Mazda.

Menekankan usaha untuk mengurangkan kesan ekonomi, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi berkata bahawa Kementerian Pengangkutan akan mempercepatkan ujian pengesahan pematuhan untuk meminimumkan kesan ekonomi akibat penghantaran yang terhenti.

Baik Toyota mahupun Mazda tidak menyatakan bila pengeluaran akan disambung semula untuk model yang terjejas.