Garis panduan elak kekeliruan penggunaan kenderaan
Menurut MOT, garis panduan ini diperkenalkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya berkaitan penggunaan kenderaan untuk membawa barangan. Selain itu, ia juga bertujuan memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih konsisten oleh agensi penguat kuasa.
Melalui penjelasan tersebut, kerajaan turut memperincikan kategori kenderaan de-controlled serta peraturan penggunaan kenderaan pick-up bagi aktiviti membawa barangan.
Kenderaan de-controlled tidak perlukan permit APAD
Dalam garis panduan berkenaan, kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled.
Kenderaan dalam kategori ini boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat untuk membawa barangan milik sendiri yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan mereka tanpa memerlukan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Namun begitu, sekiranya kenderaan tersebut digunakan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewa atau upah, ia akan dianggap sebagai perkhidmatan pengangkutan barangan komersial. Dalam situasi ini, pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Peraturan penggunaan pick-up persendirian
Bagi kenderaan pick-up persendirian pula, pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi barangan tersebut diangkut secara selamat, tidak melebihi had muatan kenderaan dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Antara contoh barangan yang dibenarkan dibawa menggunakan pick-up termasuk:
- Peralatan kerja seperti tangga, mesin rumput dan peralatan bengkel
- Bahan binaan kecil seperti kayu, paip, jubin atau simen
- Peralatan serta hasil pertanian
- Barangan pindah rumah seperti perabot dan peralatan elektrik
- Barangan berkaitan operasi perniagaan sendiri

Namun, pemilik tidak dibenarkan menggunakan pick-up persendirian untuk mengambil upah menghantar barang orang lain atau menawarkan servis penghantaran berbayar tanpa permit yang sah. Aktiviti tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang berkaitan.

Kelonggaran lesen memandu kelas D
Selain itu, kerajaan turut mengekalkan kelonggaran pentadbiran kepada pemegang Lesen Memandu Kelas D untuk memandu kenderaan de-controlled dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) sehingga 4,000 kilogram.
Had ini lebih tinggi berbanding had asal lesen kelas D iaitu 3,500 kilogram, mengambil kira pertambahan berat kenderaan akibat pemasangan badan kargo atau struktur tambahan.
Berkuat kuasa 1 April 2026
Garis Panduan Penggunaan Kenderaan De-controlled dan Pick-Up Bagi Membawa Barangan ini akan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 1 April 2026.

MOT berharap langkah ini dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai penggunaan kenderaan bagi tujuan membawa barangan, sekali gus memastikan aktiviti pengangkutan dilakukan secara teratur serta mematuhi undang-undang demi keselamatan semua pengguna jalan raya.