Geely Auto kini sedang giat membangunkan sebuah syarikat pengedar di UK, dikenali sebagai Geely Auto UK, yang akan bertanggungjawab ke atas operasi kereta penumpang.
Penubuhan Geely Auto UK bukan sahaja sebagai pengedar pertama Geely di Eropah, malah menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat.
Langkah ini juga menunjukkan fasa baharu dan lebih maju dalam strategi globalisasi Geely.
Pengedar baharu ini akan menyepadukan peniaga, pembekal, dan rakan kongsi strategik tempatan dengan cekap.
Ini sejajar dengan komitmen Geely Auto terhadap strategi "satu negara, satu dasar".
Pendekatan ini membolehkan Geely menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran tempatan.
Pada masa sama, mereka mengekalkan langkah-langkah yang perlu untuk operasi cekap di lebih 80 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Strategi Global Geely Auto
Pelan globalisasi Geely Auto dirangkum dalam strategi ‘Five by Five’. Strategi ini memberi tumpuan kepada perluasan kehadiran Geely di seluruh dunia.
Ini dicapai melalui lima aspek utama yang terdiri daripada pusat reka bentuk global, pusat R&D, kluster ujian, hala tuju rangkaian kuasa, dan ekosistem AI.
Kesemua elemen ini berfungsi untuk memacu inovasi dan mobiliti lestari.
Syarikat mensasarkan untuk mengukuhkan bahagian pasarannya di lebih 80 negara, disokong oleh peningkatan eksport sebanyak 53 peratus pada tahun 2024.
Pada tahun 2024, Geely Auto mencatat jualan keseluruhan dengan rekod baharu iaitu sebanyak 2,176,567 kenderaan atau peningkatan 34 peratus berbanding tahun 2023.
Dalam strategi globalisasi, jualan keseluruhan eksport luar negara mencecah 414,522 unit pada tahun 2024.
Angka itu melonjak lebih 57 peratus berbanding tahun sebelum dan melebihi sasaran eksport tahunan sebanyak 380,000 unit.
Daripada jumlah ini, Geely Auto sendiri menyumbang 381,548 unit eksport, peningkatan 53 peratus tahun ke tahun.
Geely EX5: Wakil Pertama di UK, pelanggan flit
Pengenalan Geely EX5 akan diterajui oleh Geely Auto UK sepanjang tahun 2025.
Satu program klinik pelanggan telah diadakan bagi mendapatkan pemahaman mendalam tentang pasaran UK yang mencabar serta potensi Geely EX5.
Geely EX5 versi 'niat pengeluaran' telah diperkenalkan kepada pelanggan flit. Mereka ini dijangka menjadi segmen penting bagi Geely.
Pengenalan tersebut dibuat semasa acara tahunan Company Car in Action, bertempat di Millbrook Proving Ground pada 11 dan 12 Jun.
Input dari Lotus Engineering, jualan Q4 2025
Geely EX5 versi awal bukan sahaja melalui sesi klinik pelanggan tetapi juga giat menjalani kerja pembangunan intensif supaya dapat memenuhi segala permintaan pasaran.
Geely Auto UK mendapatkan kepakaran firma rakan kongsi Geely, Lotus Engineering, dalam penilaian casis dan dinamik.
Lotus Engineering telah ditugaskan menjalankan penilaian yang menyeluruh.
Pakar dinamik Lotus Engineering melakukan penilaian ini secara subjektif dan objektif, merangkumi ujian di jalan raya, litar ujian Lotus, serta pelantar berbilang tiang (multi-post rig).
Laporan bebas ini akan menjadi asas kukuh untuk sebarang penalaan masa depan Geely EX5 yang disesuaikan dengan jalan raya Eropah dan gaya pemanduan pelanggan.
Jualan Geely EX5 kepada pelanggan awam di UK dijangka bermula pada suku keempat 2025.
Penulis: Muhammad Md Tajudin