Generasi baharu Suzuki Baleno dilancarkan di India

oleh Mohamad Hanif|
Maruti Suzuki akhirnya secara rasmi melancarkan generasi baharu hatchback Suzuki Baleno yang kini menampilkan perubahan dari segi penampilan serta penawaran spesifikasi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Biarpun disifatkan sebagai generasi baharu, Suzuki Baleno generasi kedua ini sebenarnya masih lagi mengekalkan casis dan platform Heartect daripada model Baleno generasi pertama.
 

Baleno


Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran sepanjang 3,990 mm, lebar 1,745 mm, tinggi 1,500 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,520 mm.

Namun begitu, Baleno 2022 ini membawakan tetapan suspensi yang diperbaharui, sistem brek yang lebih besar (14 inci) serta aspek NVH yang telah diperbaiki.

Di bahagian luar, Baleno menampilkan rekaan gril yang lebih lebar, diikuti dengan bentuk lampu utama LED depan dan belakang yang lebih agresif, diikuti dengan panel baharu terutama pada bahagian bahu serta arka roda.
 

Baleno


Susun atur papan pemuka telah pun diperbaharui dengan menampilkan skrin sentuh sembilan inci dengan sistem operasi Suzuki SmartPlay Pro+, sokongan kamera keliling 360 darjah, paparan head-up, serta sistem bunyi keliling Arcamys.

Baleno kini turut membawakan ciri kawalan iklim automatik, roda stereng balutan kulit, corong pendingin hawa baris belakang, serta sokongan slot pengecasan USB untuk peranti pintar.

Dari segi kuasa, Suzuki Baleno masih mengekalkan nadi 1.2 liter yang mampu menjana 89 hp dan 113 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik AGS lima kelajuan, serta pacuan roda hadapan.
 

Baleno


Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, ESP, Bantuan Mula Mendaki, ABS, EBD, amaran peringatan tali pinggang keledar, serta sistem amaran kelajuan tinggi.

Tidaklah sehebat Myvi yang kini mempunyai ciri ADAS, akan tetapi ia masih lagi penting untuk pasaran India.