Generasi kelima Land Rover Range Rover 2022 rasmi dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira 10 tahun selepas pengenalan Range Rover generasi keempat, Land Rover akhirnya memperlihatkan secara rasmi generasi baharu SUV mewah Range Rover 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Biarpun ia sudah memasuki generasi baharu, Land Rover mengambil pendekatan bersifat selamat dalam menghasilkan rekaan Range Rover 2022 yang memberikan penghormatan kepada elemen rekaan model terdahulu - seperti garis bumbung yang melandai ke belakang, garis bahu yang kuat, serta rekaan bonet jenis clamshell.

Di hadapan terdapat unit lampu utama baharu, rekaan gril yang lebih mendalam dan ringkas, diikuti dengan rekaan liang kemasukan udara pada bahagian bawah bampar.
 

Range Rover


Sementara bahagian sisi tidak menampilkan perbezaan yang ketara, melainkan komponen pemegang pintu yang kini tertanam kemas di dalam panel badan dan grafik sisi yang telah menjadi identiti Range Rover sejak model terdahulu.

Bahagian belakang pula menampilkan perubahan besar, di mana unit lampu kini menjadi semakin kecil dan dihubungkan dengan panel hitam melintang di bahagian bawah tingkap belakang.

Dibangunkan atas pelantar MLA-Flex, Range Rover 2022 kini menjadi bertambah besar, dengan panjang bermula dari 5,000 mm hingga 5,052 mm, sementara versi LWB (jarak roda panjang) pula menerima tambahan dimensi 200 mm.

Penggunaan platform ini juga memberikan kebebasan kepada Land Rover untuk memuatkan apa jua jenis trenkuasa, termasuklah enjin hibrid dan trenkuasa EV.
 

Range Rover


Bergantung kepada varian yang dipilih, Range Rover 2022 didatangkan dengan dua pilihan enjin, dimulakan dengan enjin enam silinder sebaris Ingenium 3.0 liter turbo (395 hp/550 Nm) atau enjin bentangan V8 4,4 liter turbo (523 hp/750 Nm) yang dipadankan dengan transmisi ZF lapan kelajuan.

Pembeli di Eropah turut mendapat pilihan enjin diesel berkuasa 296 hp atau enjin 3.0 liter enam silinder sebaris berkuasa 345 hp.

Kuasa pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.6 saat untuk model V8, atau 5.8 saat untuk versi enjin mild hibrid enam silinder sebaris, sementara model diesel pula mampu memecut sepantas 6.1 saat (345 hp) atau 6.9 saat (296 hp).

Land Rover juga menawarkan pilihan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran Eropah yang memadankan enjin Ingenium inline-6 itu tadi dengan pek bateri 38.2 kWh dan motor elektrik pada bahagian transmisi.

Versi asas P440e mempunyai kuasa gandingan 434 hp, sementara varian P510e yang lebih bertenaga mempunyai kuasa sehingga 503 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Tidak ketinggalan, trenkuasa elektrik sepenuh masa yang bakal menyertai keluarga Range Rover menjelang tahun 2024.
 

Range Rover


Range Rover 2022 didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda, sistem peredam adaptif dengan spring udara, kawalan olengan elektronik 48v, serta sistem stereng untuk roda belakang yang membolehkan roda belakang berputar sehingga 7 darjah untuk memudahkan pengendalian dalam bandar atau kestabilan ketika kelajuan tinggi.

Sistem suspensi itu tadi menggunakan data navigasi untuk 'membaca' keadaan jalan di hadapan sebelum melaraskan tahap redaman yang diperlukan secara automatik.

Sama seperti Land Rover Defender, Range Rover 2022 dengan rupa paras yang mewah ini juga mampu meredah air sedalam 900 mm.
 

Range


Untuk ruang kabin, anda boleh dapatkan ciri-ciri seperti tempat duduk dengan fungsi urut 24 cara, trim seramik, meja berkuasa elektrik pada konsol tengah, skrin kluster digital 13.7 inci, skrin infotainmen Pivi Pro 13.1 inci dan tambahan skrin 11.4 inci di bahagian belakang, sistem audio Meridian 1,600W dengan teknologi pembatalan hingar aktif serta sokongan sambungan kepada Amazon Alexa, Android Auto dan Apple CarPlay.

Ciri keselamatan yang ada pada sebuah Range Rover 2022 termasuklah bantuan lampu Low Speed Manouevring, 3D Surround Camera, ClearSight Interior Rear View, ClearSight Ground View, serta Remote Park Assist.