
Perlumbaan seperti Le Mans 24 Jam dan Daytona 24 memerlukan pasukan mengimbangi prestasi dengan ketahanan dan kecekapan.
Pasukan yang mengetuai perlumbaan tidak semestinya menduduki tempat sama selepas beberapa ketika.
Genesis GMR-001 Hypercar bakal menyertai kategori LMDh yang menggabungkan teknologi hibrid canggih dan perkakasan yang distandardkan untuk kawalan kos dan daya saing.
Ahli LMDh atau pengeluar yang mempunyai jentera adalah Acura, BMW, Cadillac, Alpine, Porsche dan Lamborghini.

GMR-001 Hypercar direka di Genesis Design Europe di bawah penyeliaan Ketua Pegawai Kreatif, Luc Donckerwolke.
Kereta ini membawakan nyalaan signatur Two Lines Genesis dan tampil garang serta berfungsi sesuai dengan tugas di litar.
Bahagian sisi juga membawa identiti Genesis iaitu garisan parabolik dan meningkatkan aliran udara ke peresap belakang untuk daya mendap dan pengendalian.
Bahagian belakang dengan spoiler aktif dilaras mengikut keadaan pemanduan dan menyeimbangkan pengurangan seretan dan kestabilan di litar.

GMR-001 Hypercar bakal dipandu André Lotterer dan Luis ‘Pipo’ Derani pada 2025 untuk kerja-kerja pembangunan dan persedian sebelum bertarung pada 2026.
Sebelum bersaing dalam WEC, pasukan akan bekerjasama dengan IDEC Sport dan menyertai European Le Mans Series (ELMS) 2025 di dalam kategori LMP2.
Tiga pelumba akan mengemudi iaitu Logan Sargeant, Jamie Chadwick dan Mathys Jaubert yang berusia 19 tahun.
Ini satu percubaan berani sebenarnya kerana program baharu untuk kumpulan Hyundai.

Hyundai Motorsport sudah membuktikan kecekalan dan baru sahaja menjulang kejuaraan pemandu dan pemandu arah buat kali pertama di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Sejak kembali berlumba pada 2012, Hyundai sudah dua kali menang kategori pengeluar WRC. Hyundai (BRC Hyundai N) juga menjuarai kategori pemandu di dalam TCR World Tour 2024.
Genesis Magma Racing akan beroperasi di Litar Paul Ricard, Perancis dan berhampiran ORECA Motorsport dan IDEC Sport.
Penulis: Muhammad Md Tajudin