Meskipun hadir dengan sesaran enjin yang kecil, Honda CB150X dilihat membawakan penggayaan yang lebih kepada motosikal kembara adventure yang lebih besar, dan mampu memberikan pengalaman tunggangan jarak dekat atau jarak jauh yang lebih menyenangkan.
Ia turut dilengkapi dengan cermin penghadang angin yang tinggi, diikuti kedudukan bar hendal yang lebar dan tinggi, dan sistem pencahayaan LED untuk unit lampu utama.
Sementara sistem suspensi pula terdiri daripada fork jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal di belakang, dengan jarak kelegaan tanah setinggi 180 mm.
Unit enjin bersesaran 150 cc DOHC sejukan cecair dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Skrin meter digital pula mampu memaparkan bacaan seperti posisi gear, penggunaan bahan api, kelajuan serta penunjuk waktu.
Honda CB150X boleh didapati dalam warna Volcano Matte Black, Glossy Red, dan Matte Green, sementara harga jualan di Indonesia bermula dari Rp 32,000,000 hingga Rp 35,000,000 (RM9,370-RM10,249).
Sumber gambar tambahan: Autonetmagz