Berbanding dengan Xpander facelift, Xpander Cross facelift ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah crossover MPV.
Yang lebih menonjol adalah rupa depan di mana reka bentuk Dynamic Shield yang jauh lebih garang dengan kemasan krom yang lebih bersegi, diikuti dengan unit lampu utama LED yang menyerupai lampu Thor Volvo.
Bahagian seksyen bawah bampar pula menempatkan unit lampu kabus berbentuk segi empat, serta posisi nombor pendaftaran yang lebih rendah.
Elemen tukul Thor itu tadi diteruskan di bahagian belakang menjadikan Xpander Cross ini jauh lebih moden, dan rekaan bampar belakang yang telah dikemaskini.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci, sementara jarak kelegaan tanah pula kekal 220 mm (225 mm untuk versi manual).
Perubahan besar turut dibawakan pada ruang kabin, di mana Xpander Cross kini menampilkan roda stereng baharu, paparan meter kluster LCD lapan inci, skrin infotainmen jenis terapung bersaiz sembilan inci yang turut menyokong sambungan kepada peranti pintar, sistem pendingin hawa digital, roda stereng boleh laras tilt & teleskopik, brek parkir elektronik, diikuti dengan sistem pengecasan peranti pintar nirwayar.
Mitsubishi Xpander Cross masih lagi mengekalkan nadi 1.5 liter MIVEC 4A91 yang mampu menghasilkan 105 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm, dengan padanan transmisi manual atau CVT yang telah menggantikan kotak gear automatik pada model terdahulu.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Mula Mendaki, Active Yaw Control, serta sistem kamera keliling.
Harga jualan di pasaran Indonesia bermula dari Rp 309,950,000 (RM93,713 ) untuk versi manual, hingga Rp 335,750,000 (RM101,514) untuk versi Premium CVT.