GoLo Bike - kuadrisikal yang boleh bertukar menjadi camper mikro

oleh Mohamad Hanif|
Di Eropah, terdapat satu klasifikasi kenderaan yang digelar sebagai kuadrisikal di mana berat kenderaan bermotor empat roda itu mestilah kurang daripada 425 kg.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disebabkan sesaran enjin dan kuasa yang dihadkan, di sesetengah negara seperti Perancis anda sebenarnya tidak memerlukan lesen memandu untuk mengendalikan kuadrisikal ini.

Itu bagi kenderaan dengan sistem pacuan berenjin atau motor elektrik.
 

GoLo


Macam mana pula dengan kenderaan kayuh sendiri?

Syarikat pemula yang berasal dari Belanda, Flevobike tampil dengan sebuah basikal beroda empat dengan ciri bantuan elektrik yang dinamakan sebagai GoLo yang menampilkan 'gerabak' di bahagian belakang dengan had muatan 200 kg atau 1,400 liter.

Dengan pakej GoCamp, anda boleh mengubah ruang gerabak di belakang kuadrisikal tersebut untuk dijadikan sebagai camper mikro!
 

GoLo


Pakej GoCamp ini mempunyai rekaan modular yang boleh dialihkan dengan mudah, jadi pemilik boleh menyimpan kotak kargo ini semasa hari bekerja, dan menggunakannya untuk aktiviti hujung minggu.

Dengan penambahan ruang di bahagian depan, GoCamp ini boleh menyediakan ruang tidur yang mencukupi untuk satu orang, serta pintu sisi yang boleh dibuka dengan luas untuk memudahkan urusan keluar masuk.

Terdapat panel solar 400 Watt yang dipasang pada bahagian bumbung dan pintu sisi yang boleh bertindak sebagai awning apabila dibuka.
 

camper


Untuk mengendalikan kuadrisikal ini, anda boleh mengayuh dengan sisa tenaga yang ada, atau menggunakan bantuan elektrik yang dikuasakan oleh pek bateri 1,000 Wh.

Bateri ini juga boleh digunakan untuk peralatan seperti peti sejuk kecil, sistem pencahayaan LED, slot kuasa USB dan 12V, serta soket 220V.

Dengan sistem solar itu tadi, ia mampu menambah jarak bantuan kayuhan sejauh 50 km sehari.
 

GoLo


Namun untuk spesifikasi biasa, anda boleh mendapatkan pek bateri standard Bafang 750 Wh dengan jarak gerak 40 km, atau pek bateri Kumpan 1500 Wh dengan jarak gerak 80 km, atau menggandingkan dua pek bateri Kumpan dengan jarak gerak sehingga 160 km.

Untuk kegunaan di atas jalan, GoLo ini didatangkan dengan sistem suspensi bebas empat roda, dimensi lebar 88 cm sahaja, serta perlindungan daripada cuaca dan juga tempias air daripada lopak jalanan.

Harga jualan untuk pakej ini tidak didedahkan buat masa ini, namun sebagai makluman, unit asas kuadrisikal GoLo dijual pada harga bermula dari €10,800 (RM50,066).

 

 

GoLo Bike dengan pakej GoCamp