Gordon Murray T.33 Spider, enjin Cosworth V12, RWD, gaya malar segar!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023
Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023
Reka bentuk kereta hari ini lebih kepada gayaan agresif.

Bukan setakat kereta sport, kereta harian dan keluarga seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pun begitu.

Di celah-celah keghairahan itu usah dilupa gaya malar segar atau timeless yang akan terus menampakkan sisi cantik dan elegan walaupun sudah berusia.

Contoh terdekat boleh dilihat pada Proton Satria GTI atau Waja yang kekal menarik dengan usia melebihi dua dekad.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Satu lagi, tahukah anda Tesla Model S dilancarkan pada Jun 2012? Reka bentuknya kekal sama pada hari ini kecuali beberapa perubahan kosmetik kecil.

Contoh terbaru malar segar boleh dilihat pada Gordon Murray Automotive T.33 Spider. Namanya sendiri gah dan individu yang bertanggung jawab terhadap kelahiran McLaren F1.

T.33 Spider membawa tujuh prinsip utama GMA iaitu Kesempurnaan Pemanduan, Ringan, Seni Kejuruteraan dan Jenama Premium.

Lagi tiga prinsip ialah Kembali kepada Kecantikan, Eksklusiviti dan Perjalanan Pelanggan yang diperibadikan.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Satu yang menarik tentang T.33 Spider ialah palet warna yang diinspirasi baju tropikal yang gemar dipakai Gordon Murray!

T.33 dipengarui reka bentuk ikonik era 60an dan boleh dilihat pada gayaannya yang bersahaja dan elegan. Tiada garis agresif dan nampak lancar dan sopan.

Nampak sama namun permukaan badan dari tiang A dan ke belakang berbeza berbanding T.33 coupé yang terlebih dahulu diperkenal pada Januari 2022.

Bumbung yang dibuka disimpan pada ruang bagasi depan. Cermin belakang boleh diturunkan untuk sensasi pemanduan tiupan angin.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Satu lagi ciri menarik ialah panel badan sisi kedua-dua kanan dan kiri yang boleh dibuka untuk simpanan bagasi atau apa-apa barang sesuai. Satu idea pintar!

Jika bahagian luar tampil elegan, reka bentuk dalaman juga begitu tanpa banyak butang dan skrin besar.

Pemandu hanya perlu pandang meter rpm yang kekal dengan bentuk jarum berbanding angka digital. Tidak dilupakan suis kawalan dalam bentuk tombol berbanding butang digital.

Paparan kanan dan kiri pula untuk bacaan suhu dan maklumat hibur dan walaupun kereta ini membawa gayaan klasik, tetap dilengkapi sambungan Apple Car dan Android Auto.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Satu lagi komponen menarik ialah pedal kaki yang direka cantik dan tuil tombol gear yang dibuat dari aluminium aloi.

Dengan badan bersahaja, bagaimana rintangan angin diuruskan? Tiada spoiler tinggi atau kit badan agresif pada kereta ini.

Menurut GMA, komponen begitu akan menggangu reka bentuk malar segar. GMA menggunakan sistem Passive Boundary Layer Control (PBLC).

Kit aerodinamik masih ada dan dibuat secara pintar dan selari dengan badan. Gordon Murray pula bukan calang-calang dan banyak menghasilkan kereta Formula Satu.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Sebagai contoh inlet kesan bumi (ground effect) pada bahagian depan kereta menyalurkan tekanan udara rendah di bawah lantai.

Udara itu disalurkan kepada peresap belakang yang mempunyai salur pemisah.

Bersama spoiler belakang jenis aktif, PBLC menghasilkan keseimbangan yang ideal di antara seretan rendah, daya mendap tinggi dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Konsep aerodinamik yang bersahaja juga boleh dilihat pada kereta Lotus atau McLaren, tiada kit yang menonjol dan agresif.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Satu lagi fakta yang perlu diketahui, sasaran berat kering T.33 Spider hanya 1,108 kilogram dan menggerakkan kereta super yang ringan ini ialah enjin Cosworth GMA.2 V12.

Enjin 3.9 liter takung kering yang dihasilkan bersama Cosworth mempunyai sudut silinder 65 darjah dan turut menyumbang kepada pusat graviti kereta yang rendah.

Pancarongga ekzos dibuat dari inkonel (aloi nikel kromium) yang ringan dan tahan kepada suhu ekstrem.

Enjin V12 T.33 tidak menggunakan turbo (McLaren F1 pun sama) dan mempunyai empat pendikit badan dan dua pemancit bahan api pada setiap silinder.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Dari segi prestasi, enjin itu menghasilkan 617 ps pada 10,250 rpm dan dihadkan secara elektronik pada 11,100 rpm untuk jeritan enjin V12 sebelum gear dianjak ke depan.

Daya kilas pula pada angka 451Nm dan boleh dinikmati pada serendah 2,500 rpm dengan 90 peratus pada julat 4,500 rpm hingga 10,500 rpm.

Berat enjin hanya 178 kilogram dan paling ringan untuk sebuah enjin V12 model jalanan.

Dari gambar boleh dilihat penutup sesondol warna kuning dan motif itu diinspirasi dari warna badan kereta lumba Duckhams Ford LM 1972 rekaan Gordon Murray.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Dipadan bersama enjin ialah transmisi manual enam kelajuan yang dibangun bersama Xtrac dan hanya seberat 82 kilogram. Tiada pilihan automatik atau klac berkembar.

Transmisi itu menggunakan cekam pelbagai plat yang menghantar daya kilas diperlukan dengan inersia yang minimum dan juga pembeza gelinciran terhad (LSD) mekanikal.

Berbanding unit yang dikawal secara elektronik, pakej itu memberikan lebih kawalan buat pemandu dan kembali kepada era kereta super dahulu! 

Apatah lagi T.33 menggunakan pacuan belakang!

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Menghubungkan kuasa kepada jalan raya atau litar ialah rim tempa aluminium saiz 19 inci di depan dan 20 inci di belakang.

Rim itu dipadan bersama tayar 235/35 ZR19 dan 295/30 ZR20 Michelin Pilot Sport 4 S.

GMA sekali lagi mengambil kira praktikaliti dan set tayar itu lebih mudah didapati berbanding tayar buatan khas.

Para jurutera membangunkan T.33 Spider mengikut ciri tayar tersebut dan bukan tayar yang perlu dibuat khusus untuknya.

 

Gordon Murray Automotive T.33 Spider 2023

 

Hanya 100 unit T.33 Spider ditawarkan dan kesemuanya dipasang dengan tangan di Windlesham, United Kingdom.

Harga belum diumumkan dan sebagai rujukan, T.33 Coupé dijual pada harga 1.37 juta Pound Sterling. 

Sekali pandang, GMA T.33 Spider mungkin tidak gah atau agresif seperti kereta super lain.

Mereka yang 'kenal bare' pasti mengetahui kehebatan kereta ini dan kenapa perlu dinikmati atau disimpan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin