GR Heritage Parts Project diperluaskan untuk Toyota 2000GT!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai kesinambungan terhadap projek restorasi kereta-kereta lama GR Heritage Parts Project, Toyota Gazoo Racing kini memperluaskan penawaran tersebut kepada sebuah lagi model yang lebih berusia - Toyota 2000GT.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Projek ini dimulakan pada pada tahun lalu dimulakan dengan model Supra di mana para pemilik Supra A70 dan Supra A80 kini boleh mendapatkan alat ganti tulen secara terus dari kilang Toyota tanpa perlu risau akan kualiti yang ditawarkan.

Menariknya, penawaran yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing ini tidak tertakluk kepada para pemilik di Jepun semata-mata, malah ia turut diperluaskan kepada para pemilik di seluruh dunia.

 


Antara komponen dan alat ganti yang diproduksikan semula termasuklah gear transmisi, hab synchro, kit pengedap minyak, kit bearing, kit snap ring, kit final gear dan pelbagai lagi.

Untuk produksi komponen yang disebutkan itu tadi, pihak Toyota bekerjasama dengan para pembekal yang mempunyai kepakaran di dalam produksi semula komponen, kilang in-house, serta jabatan yang berkaitan bagi memastikan kualiti yang dihasilkan setanding dan mampu bertahan lama.

Tempahan hanya akan diterima bermula 1 Ogos ini di laman web rasmi TGR, namun ia akan disaring terlebih dahulu kepada para pemilik asal Toyota 2000GT dengan kuantiti yang dihadkan bagi mengelakkan penjualan semula dengan harga yang lebih mahal.

Atau istilah rakyat tempatan, harga 'Tel Aviv'.

 


Toyota 2000GT merupakan sebuah kereta sports yang dilancarkan pada tahun 1967 dengan kerjasama Yamaha Motor Co.

Sebanyak 337 unit sahaja dihasilkan sehingga akhir tahun produksi pada 1970, menampilkan enjin enam silinder sebaris DOHC 2,000cc menghasilkan 150 PS dan 175 Nm pada putaran enjin 5,000 rpm.

Sebagai sebuah kereta sports, ia banyak menampilkan pelbagai ciri menarik seperti ciri sistem suspensi double wishbone keliling, empat brek cakera, tayar radial, roda aloi magnesium, serta lampu jenis retractable.

 


Malah, sebelum pelancaran rasmi di pasaran, para jurutera Toyota telah menguji prestasi 2000GT ini di dalam litar ujian Yatabe selama 72 jam, merangkumi jarak sejauh 15,000 km membolehkan ia mencapai rekod dunia, serta 13 rekod antarabangsa yang lain.

Bagi mereka yang gemar melayan filem Hollywood, Toyota 2000GT juga pernah membuat kemunculan sebagai sebuah kereta Bond di dalam filem You Only Live Twice, namun dalam bentuk convertible yang sememangnya dibina khas untuk filem tersebut.