Guna hon berirama boleh didenda, penjara - JPJ

oleh Mohamad Hanif|
Kenderaan yang menggunakan 'hon tenonet' boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Nazli Md Taib berkata, Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama telah dijalankan sejak 1 Mac lalu di sekitar negeri ini hasil aduan awam.

Menurutnya, pihaknya mendapati 'hon tenonet' semakin trending digunakan oleh kenderaan terutama jenis lori dan bas buat masa kini.

"Hon merupakan salah satu instrumen penting pada sesebuah kenderaan yang berfungsi untuk memberi amaran, peringatan atau isyarat kepada pengguna jalan raya lain melalui sistem bunyi.

"Namun begitu penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh mengganggu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Nazli berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan.

Selain itu beliau berkata, memasang 'hon tenonet' secara aksesori (retrofit) juga boleh diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu 'memasang hon melebihi satu nada'.

"Pemilik kenderaan perlu hadir pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula 'hon tenonet' yang dipasang. Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.

"Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut," katanya.

Tegas beliau, penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

Sumber: Sinar Harian