Prestasi sistem brek kebiasaannya akan dipertingkatkan dengan penggunaan angkup dan kaliper brek yang lebih besar, selaras dengan penghasilan kuasa yang lebih tinggi.
Baru-baru ini tular kejadian di China yang menunjukkan dua buah EV sedan berprestasi tinggi, Xiaomi SU7 Max terlibat dalam kemalangan berbeza yang diakibatkan oleh kegagalan brek semasa dipandu di dalam litar.
Apa yang lebih mengejutkan setelah diperiksa, Xiaomi SU7 Max yang menghasilkan kuasa sehingga 663 HP dan 838 Nm itu hanya menggunakan pad brek yang kecil.
Berikutan kejadian itu, Xiaomi telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa SU7 Max tidak dihasilkan untuk kegunaan litar dan hanya sesuai untuk pemanduan harian.
“Kami mahu mengingatkan anda bahawa Xiaomi SU7 Max ialah kereta mewah berprestasi tinggi untuk kegunaan jalan raya. Tolong jangan cuba pemanduan melampau seperti di litar perlumbaan profesional."
"Sistem brek Xiaomi SU7 Max menggunakan pad brek NAO, yang sesuai untuk pemanduan harian. Ia merupakan produk arus perdana yang mengimbangkan bunyi brek dan prestasi brek serta memenuhi keperluan pemanduan harian di jalan raya."
Bagaimanapun di litar perlumbaan, dengan kelajuan tinggi, pengumpulan tenaga kinetik yang besar, brek tajam, dan haus pantas komponen di bawah beban tinggi berterusan dan suhu tinggi, penggunaan pad brek NOA sangat tidak sesuai.
Untuk versi prototaip SU7 pula, iaitu SU7 Ultra yang memecahkan rekod EV di Nurburgring bulan lepas dengan masa pusingan 6:46.847, ianya telah dinaik taraf dengan cakera seramik karbon berukuran 430 mm di hadapan dan 410 mm di belakang.
Sumber: The Autopian