Had laju 60 km/j selamatkan nyawa? Mengarut!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagaimana yang kita ketahui, penunggang motosikal adalah golongan yang paling berisiko berdepan dengan kemalangan jalan raya jika dibandingkan dengan kenderaan lain.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia terbukti dalam statistik kemalangan jalan raya di Malaysia apabila kebanyakan kes kemalangan jalan raya (termasuklah kemalangan maut) adalah melibatkan penunggang motosikal. 

Sehubungan dengan itu, banyak pihak telah membuat kajian bagi mengenal pasti punca utama nahas melibatkan penunggang motosikal.


Menurut hasil kajian tahun 1999 oleh Miros, didapati majoriti (35.1%) kematian akibat nahas melibatkan penunggang motosikal berlaku di jalan raya yang had lajunya 70 km/j, diikuti dengan 24.3% kematian berlaku di jalan raya yang had lajunya 50 km/j.

Oleh itu, Miros membuat kesimpulan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal akan turun jika had laju motosikal yang lebih rendah dikenakan.

Namun, adakah had laju motosikal yang rendah itu benar-benar relevan? Di samping itu, adakah had laju yang lebih rendah itu boleh menurunkan kadar nahas di kalangan penunggang motosikal secara mutlak?

Hasil kajian Miros tersebut, maka JKJR mencadangkan agar had laju maksimum 60 km/j dikenakan pada penunggang motosikal.

Miros mendakwa bahawa had laju 60 km/j itu membolehkan motosikal dikawal dengan lebih mudah terutamanya ketika berhenti mengejut (memandangkan kebanyakan motosikal kapcai masih lagi menggunakan brek gelendong depan dan belakang, dengan andaian penunggang malas menyelenggara brek gelendong tersebut).

Kempen tersebut dimulakan pada tahun 2008 melalui kempen-kempen serta pengedaran pelekat kepada penunggang motosikal. Selain itu, JKJR turut cuba melobi kerajaan agar had laju motosikal 60 km/j itu dikuatkuasakan.

Namun, pada Disember 2008, kerajaan persekutuan telah membuat keputusan untuk tidak menguatkuasakan had laju motosikal 60 km/j itu.

Tambahan pula, majoriti komuniti penunggang motosikal rata-ratanya membantah cadangan had laju yang begitu rendah itu.


Kenapa boleh jadi begitu?

Secara logiknya, memang benar semakin laju sesebuah kenderaan itu dipandu, maka semakin sukar kenderaan tersebut untuk dikawal, jadi kenderaan tersebut semakin cenderung berdepan risiko kemalangan.

Ia boleh diterangkan melalui rumus momentum mudah p = mv, di mana p mewakili momentum (dalam newton sesaat), m mewakili jisim (kg) dan v mewakili halaju (meter sesaat).

Rumus lain yang boleh digunakan ialah F = ma, di mana F mewakili daya momentum (newton), m mewakili jisim (kg) dan a mewakili pecutan (dalam unit meter/saat kuasa dua).

Namun, satu perkara yang mungkin terlepas pandang oleh Miros semasa melakukan kajian mereka ialah kesan perlanggaran semasa motosikal itu ditunggang pada kelajuan rendah dan tinggi.

Bagi mengkaji kesan perlanggaran itu, kita cuba ambil dua senario berbeza. Senario pertama ialah kereta pada kelajuan 110 km/j melanggar motosikal pada kelajuan 90 km/j dari arah belakang di lebuh raya, manakala senario kedua pula hampir sama seperti senario pertama kecuali motosikal tersebut dilanggar semasa menunggang pada kelajuan 60 km/j.


 


Mana yang lebih teruk? Jika dilakukan perbandingan, maka motosikal yang dilanggar dari arah belakang semasa menunggang pada kelajuan yang lebih perlahan sudah tentunya akan menerima kesan yang lebih parah.

Sementara Miros mendapati bahawa penunggang motosikal lebih cenderung mengalami kemalangan pada kelajuan lebih tinggi, Royal Safety for the Prevention of Accidents (RoSPA) pula mendapati keputusan sebaliknya pada hasil kajian mereka.

RoSPA mendapati bahawa kebanyakan kemalangan berlaku pada jalan yang had lajunya lebih rendah, walaupun penunggang masih lebih cenderung mengalami kemalangan maut pada had laju yang lebih tinggi.

Sementara itu, motorists.org pula mendapati bahawa penurunan had laju langsung tidak memberi kesan terhadap kadar nahas jalan raya.

Apa yang saya bentangkan setakat ini ialah hasil kajian para penyelidik, tetapi bagaimana pula dengan penerangan yang lebih mudah difahami?
 


Setiap kali anda memasuki lebuh raya kendalian Plus Expressways Berhad, selalunya anda akan terjumpa papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan (basikal, beca, kereta lembu, penggelek jalan, dsb.) daripada memasuki lebuh raya.

Kenapa kenderaan tersebut dilarang daripada memasuki lebuh raya ekspres? Jawapannya mudah sahaja - untuk mengelakkan daripada kemalangan yang berpunca daripada kenderaan yang bergerak perlahan ini.

Anda bayangkan, apa akan jadi jika sebuah kereta yang dipandu laju di lebuh raya tiba-tiba terserempak dengan kenderaan bergerak perlahan ini?

Sudah tentulah pemandu kereta itu akan hilang kawalan dan merempuh belakang kenderaan perlahan tersebut, meskipun kereta tersebut dipandu pada had laju lebuh raya 110 km/j.

Sekurang-kurangnya kereta lembu, beca dan penggelek jalan adalah besar dan mudah dilihat. Bagaimana pula jika kenderaan bergerak perlahan itu adalah motosikal kapcai yang ditunggang pada 60 km/j gara-gara terlalu ikutkan saranan Miros itu?

Sudah tentulah nahas tidak dapat dielakkan kerana motosikal kapcai lebih sukar dilihat dengan jelas.
 


Selain impak perlanggaran, had laju 60 km/j yang dicadangkan itu juga turut memberi kesan buruk kepada penunggang motosikal kerana ia menyebabkan penunggang lebih cenderung berasa letih dan mengantuk.

Anda bayangkanlah, had laju 60 km/j itu menjadikan sesebuah perjalanan itu dua kali ganda lebih lama daripada sepatutnya.

Jika di lebuh raya pula sudah tentulah keadaan menjadi lebih teruk; penunggang yang menunggang pada kelajuan 60 km/j di lebuh raya lebih cenderung mengalami hipnosis lebuh raya akibat pemandangan lebuh raya yang seakan sama dan tiada perubahan, menyebabkan tumpuan penunggang menjadi merosot.

Hasil kajian kali ini maka jelaslah bahawa had laju 60 km/j sebenarnya tidak berupaya menyelamatkan nyawa penunggang seperti didakwa.

Sementara ia membantu mengurangkan impak perlanggaran secara berdepan, had laju yang lebih rendah itu sebenarnya hanya menambah parah kesan perlanggaran dari arah belakang.

Selain itu, had laju motosikal yang lebih rendah juga menyebabkan penunggang mudah letih dan mengantuk, di samping mengurangkan tumpuan penunggang akibat hipnosis lebuh raya.

Memandangkan had laju 60 km/j itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat, maka mitos "Had Laju 60 km/j Selamatkan Nyawa" terbukti KARUT!

Sumber: Blog Jalan Raya Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…
Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…