
Keuntungan operasi (operating income) keseluruhan sebanyak SEK 1.9 bilion (RM0.85), jatuh berbanding SEK 4.7 bilion (RM2.11) pada Q1 2024.
Jika ditolak usaha sama dan syarikat bersekutu, keuntungan operasi sebenar juga kekal SEK 1.9 bilion (RM0.85 bilion), jauh lebih rendah daripada SEK 6.8 bilion (RM3.05) sebelumnya.
Pendapatan asas per saham (basic earnings per share) Q1 adalah 0.40 SEK (RM0.18), berbanding 1.12 SEK (RM0.50) pada Q1 2024.
Menurut Volvo, prestasi syarikat terjejas selepas jualan borong (wholesales) menurun disebabkan pengurangan inventori yang dirancang pada suku keempat tahun lalu.

Prestasi Q1 turut terkesan akibat keadaan pasaran global yang mencabar dan tukaran mata wang yang tidak menguntungkan.
Bagi melindungi keuntungan serta meningkatkan kecekapan struktur kos, Volvo memperkenalkan pelan tindakan kos dan tunai bernilai SEK 18 bilion (RM8.09 bilion).
Sebahagian besar kesan daripada pelaksanaan pelan ini akan mula dirasai pada tahun 2026.
Langkah bernilai SEK 18 bilion ini merangkumi:
- SEK 3 bilion (RM1.34 bilion) untuk penjimatan kos berubah (variable cost),
- SEK 5 bilion (RM2.24 bilion) bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan tidak langsung (indirect spend),
- SEK 10 bilion (RM4.49 bilion) dalam langkah tunai tambahan bagi mengurangkan modal kerja dan perbelanjaan modal (capital expenditure).
Kesan daripada pelan ini akan terdapat pertindihan (Volvo tidak nyatakan akan berlaku pengurangan tenaga kerja) di operasi seluruh dunia, namun maklumat lanjut akan dikongsikan kemudian.

Kekal komited kepada elektrifikasi
Volvo tetap komited untuk menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya.
Segmen kereta elektrik kini merupakan pasaran paling pesat berkembang dan Volvo berada di hadapan dalam peralihan ini.
Sepanjang suku pertama 2025, 43 peratus daripada jualan global Volvo adalah model elektrifikasi (elektrik atau hibrid plug-in ) dengan hampir 20 peratus diwakili model elektrik.
Model elektrik baharu, ES90 turut dilancarkan pada suku ini.
Dalam masa sama, model hibrid plug-in kekal sebagai pilihan praktikal untuk pelanggan yang belum bersedia beralih sepenuhnya kepada kereta elektrik.

Strategi ikut rantau: Fokus kepada pasaran Amerika dan China
Volvo turut mengumumkan pelaksanaan pendekatan serantau (regionalised strategy).
Perancangan dibuat untuk lebih menyesuaikan produk, teknologi, pengilangan dan strategi komersial mengikut keperluan pelanggan setiap rantau.
Langkah ini bermula dengan penstrukturan semula pasaran Amerika Syarikat, Kanada dan Amerika Latin di bawah satu rantau baharu yang dinamakan Americas.
Operasi global Volvo dibahagikan kepada tiga rantau utama:
-
Americas - diketuai Luis Rezende.
-
China Raya
-
Eropah dan pasaran dunia lain
Di China, Volvo akan membuat penyesuaian lebih pantas dengan permintaan pasaran yang cepat berubah dan akan memperkenalkan hibrid plug-in jarak jauh pertama tidak lama lagi.
Di Amerika Syarikat, Volvo akan menumpukan pada barisan produk yang sesuai untuk pertumbuhan.
Syarikat juga akan menumpukan kepada memanfaatkan fasiliti pengeluaran sedia ada dengan lebih baik untuk dan menghasilkan lebih banyak kereta di tempat ia dijual.
Awal bulan ini, pengeluaran model EX30 bermula di kilang Ghent, Belgium.

Prestasi Q1 2025: Jualan turun, aliran tunai meningkat
Gelora di dalam ekonomi global memberi kesan kepada prestasi kewangan pada Q1 2025.
Jualan runcit global Volvo bagi suku pertama ialah 172,219 unit, iaitu penurunan sebanyak enam peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ini berpunca daripada tukaran mata wang dan penurunan 19 peratus jualan borong selepas Volvo menurunkan inventori pada Q4 2024.
Hasil pendapatan turun 12 peratus kepada SEK 82.9 bilion (RM37.26 bilion), manakala EBIT teras kekal pada SEK 1.9 bilion dengan margin keuntungan operasi sebanyak 2.3 peratus.
Walaupun begitu, aliran tunai bebas (free cash flow) berjaya ditingkatkan hasil daripada pengurusan modal kerja yang lebih baik serta penjualan pegangan dalam Lynk & Co.
Jualan model elektrik Volvo sebanyak 19 peratus kekal yang tertinggi dalam kalangan jenama premium tradisional.

Jangkaan 2025
Volvo menjangkakan 2025 sebagai tahun yang mencabar dan peralihan dengan banyak ketidaktentuan makroekonomi, geopolitik dan tekanan pasaran.
Keadaan ini dijangka memberi kesan kepada keuntungan syarikat melalui tekanan harga dan jumlah yang lebih rendah.
Meskipun begitu, strategi jangka panjang Volvo kekal kukuh, termasuk asas pertumbuhan dan hala tuju ke arah keuntungan mampan.
Pelan penjimatan kos dan tunai yang diumumkan ini bertujuan untuk melindungi strategi tersebut.
Disebabkan ketidaktentuan semasa, Volvo tidak akan lagi menyediakan unjuran kewangan (financial guidance) untuk tahun 2025 dan 2026.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
