Difahamkan segala perancangan program masih belum dapat digerakkan secara menyeluruh berikutan ketiadaan kepastian bajet.
Keadaan ini secara langsung memberi tekanan kepada persiapan teknikal, latihan serta kesiapsiagaan mental pelumba, dalam sebuah kejuaraan yang sangat kompetitif dan menuntut persediaan rapi sejak awal musim.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, mengakui kelewatan berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada Hakim Danish, malah turut menjejaskan bajet program pembangunan Moto4 yang melibatkan seorang lagi pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan.
Menurutnya, kekangan dana memberi implikasi besar terhadap aspek latihan, ujian jentera dan kesinambungan program pembangunan pelumba negara secara keseluruhan.
Zulfahmi menjelaskan bahawa perjanjian berkaitan penyertaan Hakim Danish dalam Moto3 sebenarnya telah dimuktamadkan sejak tahun lalu, namun pasukan kini berada dalam fasa menunggu keputusan susulan daripada SIC.
Beliau turut memahami kemungkinan perubahan hala tuju susulan pertukaran kepimpinan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun sehingga kini status kelulusan masih belum diketahui dengan jelas.
Situasi menunggu terlalu lama ini disifatkan Zulfahmi sebagai berisiko tinggi memandangkan Moto3 merupakan kejuaraan bertaraf dunia yang menuntut persiapan awal, konsisten dan terancang.
Beliau menegaskan bahawa menunggu kelulusan bajet sebelum memulakan latihan atau penyertaan perlumbaan bukan satu pilihan realistik kerana ia melibatkan faktor keselamatan, perlindungan insurans serta prestasi pelumba di litar.
Dalam keadaan terdesak, bekas pelumba Moto3 negara itu mendedahkan bahawa beliau terpaksa mendahulukan dana peribadi bagi memastikan program latihan dan persiapan pelumba negara tidak terhenti.
Langkah itu diambil demi memastikan Hakim Danish kekal kompetitif dan tidak ketinggalan berbanding pelumba-pelumba lain yang sudah menjalani persiapan intensif sejak awal.
Zulfahmi turut menyuarakan harapan agar sukan permotoran diberikan layanan setara dengan sukan teras lain, khususnya dari segi keutamaan penyaluran dana awal.
Menurutnya, perlumbaan bertaraf dunia seperti Moto3 bukan sekadar membawa nama pelumba, tetapi juga mengharumkan imej negara di pentas antarabangsa, sekali gus memerlukan sokongan yang konsisten dan terancang.
Dengan musim Moto3 bakal bermula tidak lama lagi, masa kini menjadi faktor paling kritikal, sebarang kelewatan berterusan bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi Hakim Danish sebagai wakil tunggal negara, malah berisiko menjejaskan momentum pembangunan bakat sukan permotoran Malaysia secara keseluruhan.
Sumber: Kosmo