Hampir 16,000 hadiri Kedah Motor Fest, satu lagi program permotoran dicadangkan Disember ini

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari facebook Kedah Motor Fest
Kerajaan negeri bercadang menganjurkan satu lagi acara permotoran Disember ini susulan sambutan luar jangkaan diterima program Kedah Motor Fest yang diadakan di Dataran Amanjaya Mall, di Sungai Petani, pada Sabtu.


Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata program Kedah Motor Fest itu menghimpunkan peminat permotoran dari negeri ini serta penyertaan negeri lain yang membabitkan pelbagai kategori motosikal.

 

"Kehadiran begitu ramai, setakat jam 2 petang tadi kira-kira 16,000 pengunjung yang hadir.

 

"Kita mengalu-alukan penyertaan semua kategori termasuklah Vespa, vintage, cub, superbike...program ini juga mencakupi semua peminat permotoran yang bukan hanya dari negeri ini tetapi juga negeri lain.

 

"Saya berharap program seperti ini dapat diadakan secara berkala, saya fikir bulan Disember ini akan diadakan satu lagi program seperti ini," katanya selepas merasmikan Kedah Motor Fest sempena Karnival Prihatin Negara di Dataran Amanjaya Mall hari ini.


Sementara itu, Pengarah Kedah Motor Fest, Nurul Amin Hamid, berkata matlamat utama penganjuran untuk menghimpunkan dan menyatupadukan anak muda serta peminat dunia permotoran.


"Dalam kalangan peminat motosikal ada kumpulan mereka tersendiri, contohnya peminat Ysuku, RXZ, RS, vespa dan lain-lain lagi.

 

"Menerusi program ini kita turut menyelitkan agenda dakwah untuk anak muda serta perkongsian daripada pimpinan anak muda mengenai belia mahir dan keperluan belia masa kini.

 

"Walaupun acara permotoran ini memenuhi keperluan anak muda, kita turut menekankan aspek keselamatan semasa menunggang dan kita turut membawa beberapa orang ikon khususnya dalam sukan permotoran untuk mendidik anak-anak muda agar menunggang dengan selamat," katanya.

 

Karnival Prihatin Negara anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah dan Pejabat EXCO kerajaan negeri berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan mencatatkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung. 

 

 


– BERNAMA