Katanya, pemilik kereta menyedari bahawa banjir yang berlaku baru-baru ini mendedahkan kelemahan terhadap tindak balas bencana dan perancangan bandar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perlindungan insurans dan sama ada rakyat negara ini kurang dilindungi.
"Di Malaysia, kita mempunyai pilihan mengenai produk insurans dan bagaimana membeli insurans. Jadi, ia bukan persoalan mengenai kurang dilindungi.
"Bagaimanapun, kami berasa bersalah kerana memilih untuk melepaskan perlindungan banjir (insurans rumah), cermin depan atau perlindungan bahaya khas (perlindungan terhadap tanah runtuh, banjir dan bencana alam lain) apabila membeli insurans kereta, semuanya bagi mendapatkan polisi insurans yang lebih murah.
"Inilah yang menyebabkan rakyat Malaysia kurang mendapat perlindungan insurans," katanya dalam satu kenyataan.
Wang berkata, kejadian banjir baru-baru ini dengan jelas mengesahkan bahawa insurans begitu diperlukan, terutama apabila perlu melindungi aset.
"Isu terbesar adalah kebergantungan terhadap kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga korporat Malaysia untuk menyediakan jaringan keselamatan apabila berhadapan dengan musibah yang berleluasa seperti banjir baru-baru ini," katanya.
Susulan kejadian banjir akhir tahun lalu, Allianz General menyediakan bantuan tunda kepada 1,590 pelanggan yang terjejas sehingga 16 Januari 2022, dengan hanya 193 kenderaan (178 kereta persendirian dan 15 motosikal) mempunyai perlindungan banjir yang sah sebagai sebahagian daripada polisi insurans mereka.