Menurutnya, antara negara yang dimasukkan dalam senarai itu ialah China, Arab Saudi, United Kingdom, Australia, Singapura, Jerman, Jepun dan Taiwan.
“Kita menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan hanya negara berisiko rendah memasuki Langkawi bagi pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa itu,” katanya ketika ditemui di Kompleks LADA.
Katanya, cadangan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, LADA menyasarkan kemasukan 50,000 pelancong asing sehingga hujung tahun ini melalui pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa tersebut.
“LADA tidak meletakkan sasaran yang tinggi berikutan belum ada keputusan muktamad mengenai penerbangan terus dari negara luar ke Langkawi,” katanya.
Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, seramai 158,239 pengunjung telah memasuki Langkawi setakat semalam sejak pelaksanaan gelembung pelancongan domestik pada 16 September lalu.
Katanya, pada September, purata kemasukan pelancong adalah 2,500 orang sehari dan jumlah purata itu meningkat kepada 3,700 orang sehari pada dua minggu pertama Oktober.
Tambahnya, sejak rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu, purata kemasukan pengunjung ke Langkawi meningkat hampir dua kali ganda, sehingga 5,000 orang sehari.
“Angka ini menunjukkan orang ramai sudah yakin untuk keluar melancong semula,” katanya.