Harga Kereta CKD Naik Awal 2026? - MAA Tunggu Penjelasan Rasmi Daripada Kementerian Kewangan

oleh Qalif Latif|
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu kemas kini rasmi daripada Kementerian Kewangan (MoF) berhubung pelaksanaan semakan Open Market Value (OMV) di bawah Peraturan Cukai Eksais PU(A) 402/2019. Pelaksanaan peraturan baharu ini dijangka bermula Januari 2026 dan bakal memberi kesan langsung kepada harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

Kenaikan Harga 10–30% Jika Guna Format Lama
Menurut laporan paultan.org, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain menjelaskan bahawa pelaksanaan OMV/402 tetap akan diteruskan seperti dirancang, namun kerajaan sedang menilai kaedah baharu bagi mengurangkan kesannya kepada industri automotif tempatan.

Kami telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan. Difahamkan, pelaksanaan OMV ini memang akan diteruskan kerana ia sebahagian daripada penyelarasan dengan garis panduan World Customs Organisation (WCO),” katanya semasa taklimat prestasi industri automotif separuh pertama tahun 2025, hari ini.

Shamsor turut mengesahkan bahawa jika pengiraan dibuat menggunakan format lama yang telah diwartakan, kenaikan harga kenderaan atas jalan (OTR) boleh mencecah antara 10 hingga 30 peratus.

Ya, sekiranya kesan 402 dikira berdasarkan format lama, memang akan berlaku kenaikan antara 10 hingga 30% pada harga OTR. Namun berdasarkan maklum balas yang kami terima, ada petunjuk bahawa kaedah pengiraan baharu sedang diperhalusi untuk meminimumkan impak tersebut,” jelas beliau.

Industri Perlukan Masa Untuk Menyesuaikan Diri
Tambah Shamsor, MAA bimbang dengan tempoh masa yang semakin suntuk sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.

Dengan hanya lima bulan berbaki, ia terlalu singkat untuk mana-mana pengeluar menyesuaikan semula proses pengeluaran mereka. Dalam konteks rantaian bekalan, ia bukan sekadar isu kilang, tetapi juga melibatkan logistik, pengedaran, dan kos keseluruhan. Kami perlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” ujarnya.

Tiada Jaminan Harga Tidak Naik
Apabila ditanya sama ada kerajaan telah memberi jaminan bahawa harga kenderaan tidak akan meningkat, Shamsor berkata tiada sebarang pengesahan rasmi diberikan.

Setakat ini tiada jaminan hitam putih bahawa harga tidak akan naik, namun berdasarkan perbincangan dengan MoF, mereka sedang meneliti cara untuk mengurangkan kesan kepada industri,” katanya.

Latar Belakang OMV/402
Peraturan OMV/402 ini akan memperluaskan skop cukai eksais kepada kos bukan pembuatan seperti pemasaran, jualan, pentadbiran dan keuntungan. Ini bermakna nilai cukai eksais bagi kenderaan CKD tidak lagi hanya berdasarkan kos pengeluaran, tetapi turut mengambil kira kos operasi dan margin keuntungan.

Jika dilaksanakan tanpa perubahan formula, ia boleh menyebabkan peningkatan harga kenderaan dan motosikal CKD di pasaran tempatan. Namun kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa kaedah penilaian akhir masih dalam kajian dan akan diumumkan sebelum tarikh kuat kuasa pada Januari 2026.

Sumber: paultan.org


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Setakat Januari hingga November 2025, TIV telah mencecah 727,836 unit, hanya memerlukan kira-kira…
Berita Domestik
Tarikh Masuk Negara Jadi Penentu Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, faktor utama…
Berita Domestik
Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh segmen kenderaan penumpang (PV) yang mencatat jualan…