"Walaupun jumlah cukai itu tidak disebut, sebarang peningkatan kos akan dipindahkan kepada pengguna," ujar Alex Lee yang terbabit di dalam perniagaan kenderaan.
"Namun begitu, saya kira harga kenderaan tidak akan dinaikkan secara terang. Ia akan dinaikkan menggunakan alasan seperti varian baharu atau model facelift dan kos peningkatan disorok di dalam harga baharu," sambung beliau lagi.
Seorang lagi pemerhati bebas yang dihubungi Careta berkata kadar keuntungan syarikat automotif sudah terjejas sekian lama, dan pengenalan model EV terus memberikan tekanan kerana kos servis yang rendah.
"Sebarang peningkatan kepada kos, besar atau kecil, bakal menaikan harga jualan," ujar SK Josh dengan yakin.
Seorang jurujual kenderaan jenama Jepun, Firdaus Bakar yang ditemui Careta juga menyuarakan kerisauan beliau akan isu peningkatan kos.
"Sekarang pun pasaran sudah begitu kompetitif dan kenderaan tidak boleh dijual jika tidak ada tawaran atau diskaun. Jika harga kenderaan naik terlalu banyak, jualan akan turun mendadak," ujarnya.
Pendapat Firdaus turut dikongsi oleh beberapa orang lagi eksekutif jualan dari jenama-jenama lain.
"Harga dan pakej tawaran yang ada sekarang sudah lebih dari menarik. Pihak bank juga nampaknya banyak membantu.
Tahun hadapan, saya harap ini akan berterusan tetapi jika harga meningkat banyak, kami di bahagian jualan akan terkesan juga," tambah Firdaus.