Harga motosikal sudah naik sejak Januari!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Harga jualan motosikal di pasaran tempatan sudah mula meningkat sejak Januari lalu selepas kebanyakan pengeluar tidak mampu lagi menyerap peningkatan kos berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit, kos pengangkutan meningkat dan pelaksanaan gaji minimum.


Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), Roslan Roskan, berkata setiap peserta utama dalam industri pemotoran mempunyai strategi yang berbeza dalam mengurus dan menyerap kos dalam memilih produk atau model dan berapa kuantum harga yang akan dinaikkan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Begitu juga di MODENAS, di mana banyak perkara harus diambilkira bagi mengekalkan operasi untuk dapat berjalan dengan lancar," katanya kepada BH.

 

Menurut sumber industri, kenaikan harga motosikal di pasaran tempatan berlaku termasuk disebabkan lonjakan bahan mentah sehingga 30 peratus terutamanya besi.

 

"Bahan mentah naik harga, ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan renmimbi, kos penghantaran menerusi laut meningkat dan upah juga naik. Ia mendorong kenaikan harga motosikal di Malaysia.

 

"Ada pengeluar cuba elak menaikkan harga dengan melaksanakan 'multi-sourcing', namun rakyat Malaysia perlu bersedia untuk berdepan apa-apa kemungkinan kelak.

 

"Jika ringgit berada pada paras RM4.50 berbanding dolar AS, keadaan akan menjadi lebih buruk," katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Tan Tien Chye, berkata harga motosikal dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Beliau berkata, kejatuhan ringgit telah menyebabkan kos mengimport motosikal meningkat dengan ketara yang mana memberi kesan kepada margin.

 

Katanya, kenaikan kos penghantaran, sewa kontena dan logistik menambah tekanan kepada pengeluar dan pengedar untuk terus menyerap kesan kenaikan agar tidak dipindahkan kepada pengguna.

 

"Kami juga berdepan dengan pelaksanaan kadar baharu gaji minimum yang dilihat terus memberi cabaran kepada untuk mengekalkan harga jualan. Penetapan kadar baharu kepada RM1,500 sebulan meningkatkan kos overhed di rangkaian pengeluaran.

 

"Faktor kejatuhan ketara nilai ringgit, peningkatan kos logistik dan gaji minimum menyebabkan kami tidak mampu lagi menampung kos tambahan yang memberi kesan besar kepada margin kami. Jadi kami terpaksa memindahkan kepada pelanggan," katanya.

 

boon siew
Gambar Hiasan

 

Tien Chye berkata, tekanan berterusan bakal dihadapi pengeluar dan pengedar, jika kerajaan bersetuju mengurangkan subsidi bahan api seperti mana yang telah dicadangkan pelbagai pihak baru-baru ini.

 

Beliau berkata, subsidi petrol RON95 dan diesel misalnya jika diapung akan menyebabkan harganya akan meningkat pada satu tahap mengikut harga minyak mentah semasa, bakal meningkatkan kos dalam seluruh ekosistem industri jentera dua roda.

 

"Seperti biasa, jika harga petrol naik bukan setakat harga keperluan asas seperti makanan akan meningkat, industri motosikal juga akan terpalit sama kerana semua benda akan naik harga. Jadi apungan RON95 dan diesel ini akan menambah buruk lagi margin kami.

 

"Berdasarkan faktor ini, saya menjangkakan harga motosikal akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Kenaikan harga motosikal bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia," katanya.

 

Tien Chye menjelaskan, kenaikan harga jualan motosikal dijangka memberi kesan kepada permintaan jentera dua roda itu meskipun pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk memilikinya.

 

"Jualan motosikal ketika ini adalah sekitar 50,000 unit sebulan. Kita tahu motosikal mendapat permintaan tinggi selepas sektor ekonomi dibuka semula. Jadi kenaikan harga ini akan membebankan mereka kerana kebanyakan pembeli adalah golongan B40," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sebagai langkah bagi mengatasi masalah tersebut, Boon Siew Honda kini menawarkan pakej harga tetap…
Berita Domestik
Menurut sumber industri yang ditemuramah Careta, peningkatan harga kali ini bukan disebabkan oleh…