Harga tayar baharu naik, pengguna terbeban dan bergadai nyawa guna tayar terpakai

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Mahu berjimat dan tidak mempunyai kemam­puan kewangan menjadi punca ramai pengguna jalan raya menggunakan tayar terpakai berban­ding tayar baharu dan berjenama yang jauh lebih mahal.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Hasil tinjauan Kosmo!, rata-rata pengguna sangat terkesan dengan kenaikan harga tayar yang melonjak antara lima hingga 10 peratus ketika ini sehingga memaksa mereka menggunakan tayar terpakai.

 

Malah, mereka juga mengakui tidak mempunyai pilihan walaupun sedar dengan risiko yang bakal dihadapi.

 

Di Kota Bharu, seorang pemilik kedai tayar Izwuan Mohd. Nor, 50, berkata, dianggarkan 70 peratus pelanggan yang datang ke premisnya adalah untuk membeli tayar terpakai.

 

Katanya, keadaan itu disebabkan oleh kenaikan harga pelbagai jenis tayar baharu yang mening­kat sebanyak enam kali dalam tempoh lapan bulan.

 

“Apabila ramai pelanggan memilih untuk membeli tayar terpakai, jualan tayar baharu terus merosot. Ia menyebabkan berlakunya lambakan stok tayar di premis saya.

 

“Rata-rata pengguna memilih untuk membeli tayar terpakai yang dijual pada harga RM50 hingga RM60 sebiji berbanding tayar baharu sekitar RM200 sebiji bergantung kepada jenama dan kelebarannya,” katanya.

 

Menurut Izwuan, purata harga tayar untuk kebanyakan kereta sebelum ini dijual adalah RM165, namun telah naik kepada RM200 ketika ini.

 

Bagi Zabidah Yusoff, 57, dia mengakui terkejut melihat harga tayar baharu yang naik mendadak baru-baru ini.

 

“Tayar terpakai ini mampu bertahan selama tiga hingga lima bulan, namun ia bergantung kepada pemanduan.

 

“Saya tidak mampu beli tayar baharu dan hanya mengeluarkan belanja sekitar RM200 untuk membeli empat biji tayar terpakai,” katanya.

 

Di Shah Alam, Selangor, pengguna terutama dari golongan B40 paling terkesan dengan kenaikan harga tayar ekoran pe­ningkatan pelbagai lagi kos sara hidup ketika ini.

 

Nurull Syafura Mohamed, 39, berkata, kenaikan itu bukan ha­nya membebankan, malah keputusan untuk menggunakan tayar terpakai turut mendatangkan risiko bahaya di jalan raya.

 

“Tayar merupakan komponen penting bagi kenderaan dan perlu ditukar mengikut jangka hayat atau tempoh tertentu.

 

“Tidak salah menggunakan tayar murah atau terpakai, namun kualitinya pasti berbeza dan mungkin mudah pecah atau rosak,” katanya.

 

Di Kuala Terengganu, seorang pengguna, Zamri Abd. Ghani, 49, mengakui terpaksa pergi ke banyak bengkel semata-mata untuk mencari tayar terpakai yang masih sesuai digunakan.

 

“Saya mahu menggunakan tayar berjenama, tetapi tidak mampu disebabkan harganya yang terlalu mahal pada masa ini,” katanya.

 

 

Kosmo