Harley-Davidson LiveWire - motosikal berkuasa elektrik yang bergaya

oleh Mohamad Hanif|
Pada acara tahunan EICMA di Milan, Harley Davidson telah memperkenalkan buat pertama kalinya motosikal elektrik Harley-Davidson LiveWire.

Motosikal elektrik yang disasarkan untuk memasuki pasaran pada 2019 itu merupakan langkah awal yang diambil oleh Harley dalam usaha untuk menjadi perintis kepada teknologi terkini motosikal elektrik dalam dunia. 

Harley tidak mendedahkan kuasa sebenar motosikal ini, namun yang pasti, LiveWire menggunakan motor elektrik magnet kekal sebagai punca kuasa utama yang mampu menjana daya kilas yang cepat dalam masa singkat - memberikan prestasi yang mengkagumkan. 

 


Motor elektrik tersebut diletakkan rendah supaya titik graviti LiveWire ini menjadi rendah dan pengendalian yang mampu dikawal dalam apa jua kelajuan. 

Menyebut perihal pengendalian, LiveWire dilengkapi dengan sistem suspensi boleh laras Showa, terdiri daripada Showa Balanced Free Rear Cushion-lite (BFRC-lite) untuk belakang dan Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) untuk hadapan. 

Manakala untuk memberhentikan motosikal ini, Harley mendatangkan sistem brek cakera berkembar Brembo Monoblock 300 mm yang turut dibantu dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS). 
 


Di sebalik rekaan casis aluminium bersirip itu, terletak bateri lithium ion Rechargeable Energy Storage System (RESS) yang mampu dicas kembali menggunakan sistem pengecasan tahap 1, membolehkan motosikal ini menggunakan soket kuasa yang biasa di rumah, dan turut menyokong pengecasan tahap 2 dan pengecasan pantas (DC Fast Charge). 

Skrin paparan TFT memberikan bacaan kepada informasi kritikal LiveWire dan ia didatangkan dengan akses kepada sambungan Bluetooth, sistem navigasi, muzik dan sebagainya. 
 


Menurut Harley-Davidson, tempahan awal untuk motosikal LiveWire ini akan mula dibuka pada Januari 2019.

 

Tags

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Harley-Davidson, syarikat motosikal yang seboleh-bolehnya tidak mahu masa bergerak ke hadapan agar…