Ketua Polis Negara Pol Jen Kittirat Panpet mengesahkan kejadian itu dan mengucapkan takziah yang mendalam berikutan tragedi berkenaan.
"Sebuah helikopter BELL 212 milik Polis Diraja Thailand telah terhempas di Daerah Mueang, Wilayah Prachuap Khiri Khan. Laporan awal mengesahkan tiga anggota polis terbunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kittirat berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas.
Beliau turut mengarahkan semua unit berkaitan menyiasat keadaan yang membawa kepada kejadian itu secara teliti serta memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
"Bagi pihak Polis Diraja Thailand, saya menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi ini," katanya.
Tragedi itu berlaku hanya beberapa minggu selepas satu lagi insiden melibatkan pesawat polis.
Pada 25 April lalu, sebuah pesawat kecil milik polis terhempas ke dalam laut berhampiran Lapangan Terbang Hua Hin, mengorbankan kesemua enam anggota yang berada di dalamnya.