Helmut Marko Tinggalkan Red Bull Selepas 20 Tahun

oleh Qalif Latif|
Red Bull akan memasuki musim Formula 1 2026 tanpa figura paling berpengaruh dalam struktur pasukan itu selepas penasihat lama mereka Helmut Marko disahkan bakal berundur pada penghujung tahun ini. Perkara itu difahamkan oleh Sky Sports News yang melaporkan Marko memilih untuk menamatkan peranan selepas dua dekad bersama organisasi tersebut.

Helmut Marko

Hubungan Kuat Dengan Verstappen

Marko kini berusia 82 tahun dan mempunyai hubungan rapat dengan Max Verstappen. Sepanjang karier Verstappen di Red Bull beliau sentiasa menganggap Marko sebagai second father. Marko juga memainkan peranan besar dalam ketidaktentuan 2024 ketika masa depan Verstappen bersama Red Bull tergantung ekoran dakwaan terhadap Christian Horner yang akhirnya digugurkan.

Marko juga selama ini menjadi tulang belakang kepada program pembangunan pemandu muda Red Bull yang terkenal dengan proses pemilihan dan penyingkiran yang tegas.
Helmut Marko

Perubahan Besar Dalam Struktur Red Bull

CEO Red Bull Oliver Mintzlaff dikatakan mahu membawa nafas baharu selepas penyingkiran Christian Horner pada pertengahan tahun lalu. Pemergian Marko juga sebahagian daripada fasa penstrukturan semula pasukan induk dan pasukan satelit Racing Bulls.
 

CEO Red Bull Oliver Mintzlaff
CEO Red Bull Oliver Mintzlaff


Prinsipal pasukan Red Bull Laurent Mekies memuji Marko kerana peranannya membantu menstabilkan pasukan dalam musim yang dianggap mencabar.

Mekies berkata selepas tamat perlumbaan Abu Dhabi Grand Prix
“Helmut sangat membantu sepanjang musim ini terutamanya ketika kami melalui situasi yang sukar pertengahan musim. Sudah tentu ada keputusan sukar dibuat tetapi dalam F1 semuanya sentiasa berubah dan kita perlu menyesuaikan organisasi.”

Bagaimana Pemergian Marko Boleh Jejas Verstappen

Dalam penilaian Sky Sports, Marko dianggap ‘tiang penting’ dalam perjalanan Verstappen sejak hari pertama. Mereka berdua pertama kali bertemu pada 2013 ketika Verstappen berusia 15 tahun sebelum Marko membawa beliau ke Formula 1 hanya setahun kemudian. Keputusan itu menjadikan Verstappen pemandu paling muda dalam sejarah F1 pada usia 17 tahun.

Helmut Marko

Kesetiaan Verstappen selama ini banyak terikat dengan keyakinannya terhadap Marko. Namun masa depan Max kini lebih bergantung kepada prestasi kereta 2026 dan hala tuju baharu pasukan.

Verstappen masih mempunyai kontrak hingga akhir 2028 tetapi dua musim kebelakangan ini masa depannya sering dipersoalkan susulan ketegangan dalaman bersama Horner yang akhirnya meninggalkan pasukan.

Dengan perubahan besar peraturan F1 pada 2026, kedudukan prestasi pasukan dijangka beralih dan faktor itu lebih kritikal untuk menentukan keputusan Verstappen kekal atau tidak berbanding pemergian Marko.

Helmut Marko

Fokus Verstappen Tetap Pada Prestasi

Verstappen diyakinkan oleh pembangunan kereta Red Bull pada separuh kedua musim ini ketika mereka hampir merampas gelaran Konstruktor daripada McLaren. Tetapi untuk kekal, Verstappen mahu Red Bull menawarkan pakej yang kompetitif musim 2026.

Secara asasnya prestasi kereta akan menjadi penentu. Walaupun Marko pergi, ia dijangka tidak terlalu mempengaruhi keputusan Verstappen tentang masa depannya.

Pemergian Helmut Marko menutup satu era penting dalam sejarah Red Bull. Beliau bukan sahaja penasihat tetapi arkitek kepada program pemandu muda yang melahirkan juara dunia. Fasa seterusnya buat Red Bull kini bergantung kepada bagaimana mereka mengurus transformasi menuju regulasi baharu F1 2026 dan bagaimana mereka meyakinkan Verstappen untuk terus menjadi tunjang utama pasukan.