Hennessey Exorcist Camaro edisi istimewa, liar dengan enjin V8 1000bhp!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1
Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1
Hennessey adalah satu jenama dari Texas, Amerika Syarikat yang tidak asing dengan kenderaan kuasa tinggi.

Syarikat kejuruteraan kenderaan ini bukan sahaja bikin kereta tetapi juga pikap, SUV dan mempunyai kereta hiper sendiri iaitu Venom F5 dengan kuasa 1,817 hp!

Apa lagi projek Hennessey? Ini yang terbaru, Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro dan ditawarkan oleh Hennessey Performance Engineering (HPE) untuk 30 pelanggan sahaja.

Edisi ekstra istimewa ini sebenarnya dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-30 Hennessey dan dikhaskan dari 100 buah Exorcist Camaro ZL1 yang diperkenalkan sebelum ini.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1

 

Apa yang istimewa dengan edisi 30 tahun? Ada logo ulang tahun pada fender depan dan setiap unit diberikan nombor siri dengan plak Anniversary Edition.

Ciri istimewa tersebut nampak ringkas kecuali isi dalam model ini.

Hennessey berterus terang dengan mengatakan Exorcist dibina bagi mengalahkan sebuah lagi muscle car hebat iaitu Dodge Demon.

Berapakah angka pada Exorcist Camaro ZL1? Kelajuan maksimum 349 km/j dan hanya 2.1 saat untuk 0-97 km/j!

 

Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1

 

Apa yang HPE buat ialah ubah suai enjin Camaro ZL1 6.2 liter LT4 V8 dari semua aspek di antaranya supercas aliran tinggi, sistem pengambilan udara, aci engkol Hennessey dan sistem pengambilan udara.

Turut diubah suai ialah kepala silinder yang dimesin (ported), manifold ekzos besi tahan karat yang panjang dan penukar bermangkin (catalytic converters) aliran tinggi.

Pakej ubah suai pada enjin standard Camaro ZL1 berjaya menghamburkan 1,000 bhp pada 6,500 rpm dan tork 1197 Nm!

Satu lagi perkara menarik tentang Hennessey ialah mereka bukan setakat bercakap atas kertas.

Setiap produk Hennessey dibuktikan dengan mesin dyno, diuji di litar, sah digunakan di jalan raya dan mempunyai waranti.

 

Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1

 

Jika ada yang mengidam, Hennessey menawarkan Exorcist Anniversary Edition ini kepada pelanggan di serata dunia. 

Anda boleh memilih gaya badan coupe atau convertible dan menariknya ada transmisi automatik dan manual.

Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro boleh dimiliki pada harga USD 135,000 (RM 571,252) dan boleh dipesan dari pengedar Chevrolet atau Hennessey.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hennessey Exorcist 30th Anniversary Camaro ZL1