Mengambil inspirasi daripada Ford GT Heritage Edition, Ford Mustang itu hanya ditawarkan dalam 19 unit terhad sahaja, dan kesemuanya dilayangkan warna merah perlumbaan (Race Red) yang dikontraskan dengan grafik livery berwarna putih.
Antara naik taraf yang diberikan oleh Hennessey kepada Ford Mustang Heritage Edition ini ialah penawaran spoiler gentian karbon pada hadapan, sisi dan belakang kereta, sistem ekzos jenis catback kalis karat, sistem suspensi yang direndahkan, brek Brembo, rim aloi bersaiz 20 inci dan penggunaan tayar Michelin Pilot Sport Cup2.
Pihak Hennessey mengusik sedikit dan secukup rasa enjin 5.0 liter bentangan V8 dengan memasukkan pam dan penyuntik bahan api berprestasi tinggi, sistem induksi udara beraliran tinggi, intercooler dan supercharger.
Hasil sentuhan penala tersebut, Ford Mustang Heritage Edition ini mampu menghamburkan 808 kuasa kuda dan daya kilas 918 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat sahaja sebelum mencecah kelajuan tertinggi 322 km/j.
Walaupun ia ditawarkan sebanyak 19 unit sahaja, Hennessey membuka tempahan bagi mereka yang ingin memiliki jentera ganas ini dari seluruh dunia, pada harga bermula dari $89,950 (RM366k++ tidak termasuk kos penghantaran).