Hennessey Venom F5 Revolution Roadster, 12 unit sahaja dan maaf sudah habis!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023
Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023
Pada Januari lalu Hennessey memperkenalkan Venom F5 Revolution Coupe dan sudah menjadi kebiasaan kereta sebegini, ada pasangan boleh buka bumbung atau roadster.

Kini tiba masanya untuk Venom F5 Revolution Roadster dan walaupun sama tetapi bukan semudah menukar bumbung.

Hennessey telah menjuruterai semula model asal dengan mempertingkatkan pengendalian, kelincahan dan daya mendap.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023

 

Revolution Roadster merupakan model keempat dalam siri Venom F5 dan setiap satu dibuat mengikut tujuan berbeza.

F5 Coupe dibangunkan untuk kelajuan tertinggi, F5 Roadster untuk pengalaman pemanduan manakala F5 Revolution ditumpukan pada litar.

F5 Revolution Roadster pula mengadun tiga ciri terbaik model tersebut dengan pemanduan tanpa bumbung dan fokus untuk litar lumba.

 

Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023

 

Dari segi penampilan, kereta hiper ini menyerlah dengan pemisah depan dan belakang besar, sayap atau dive plane depan dan spoiler yang menonjol di belakang.

Suspensi juga ditala semula dan skup udara pada bumbung sama seperti Revolution Coupe dan ditugaskan untuk mengalirkan udara pada enjin.

Bumbung boleh buka F5 Revolution Roadster dibuat dari bahan komposit gentian karbon tegar. 

 

Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023

 

Ada empat bolt lepas cepat dan sepasang selak kekuatan tinggi supaya tahan dengan pecutan dan daya aerodinamik luar biasa kereta ini. 

Bahagian dalam panel bumbung dibalut Alcantara lembut dan berat keseluruhan hanya lapan kilogram dan boleh dipasang dan ditanggalkan dengan mudah oleh seorang individu.

Sama seperti F5 Roadster, tukup belakang mempunyai cermin bagi melihat rongga dan perkakasan enjin.

 

Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023

 

Kaca itu empat kali lebih kuat berbanding kaca sepuh (annealed glass) biasa dan dipasang pada tukup enjin gentian karbon dengan liang pengudaraan.

Berkongsi enjin dengan Venom F5 lain, enjin 6.6 liter Fury V8 turbo berkembar menghasilkan 1,817  kuasa kuda (hp) dan tork 1,617Nm.

Model pengenalan Venom F5 Revolution Roadster yang dipertonton pada 18 Ogos adalah unit pertama daripada lima unit terhad model Bare Carbon.

 

Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023

 

Model ini menarik dengan sulaman gentian karbon yang disusun mengikut corak tulang ikan (herringbone) dan menonjolkan garisan badan F5.

Lapisan jernih (clear coat) melindungi komposit yang terdedah dan jaluran kuning menambah tarikan kereta.

F5 Revolution Roadster dikeluarkan sebanyak 12 unit sahaja dan dijual daripada AS$3 juta (RM13.7 juta).

Harap maaf, kesemuanya habis terjual!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hennessey Venom F5 Revolution Roadster 2023