Hentak pemandu kereta guna topi keledar, peniaga didenda

oleh Penyumbang Rencana|
foto kiri Muhammad Ariff Izzat, foto kanan kejadian pada 27 Mac 2025
Mahkamah Majistret Ayer Keroh mendenda seorang peniaga RM4,300 yang mengaku bersalah bergaduh dan memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar.

Majistret N Shivashangari menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Izzat Shaharudin, 27.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana memukul Yusri Omar, 52, dengan topi keledar hingga cedera pada 27 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret mengenakan denda RM3,500 atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Ariff dan Yusri turut didenda RM800 atau penjara dua bulan selepas masing-masing mengaku bersalah bergaduh pada tarikh dan di tempat sama.

Siasatan mendapati mereka melakukan gaduh gempar di tempat awam yang mana tertuduh pertama, memukul tertuduh kedua dengan topi keledar hingga cedera.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, pergaduhan Ariff dan Yusri di persimpangan masuk Taman Cheng Utama tular di Facebook, sebelum pegawai polis yang menonton video itu membuat laporan bagi siasatan lanjut.

Difahamkan insiden itu berpunca daripada tindakan Yusri yang menekan brek ketika memandu hingga menimbulkan kemarahan Ariff yang menunggang motosikal.

 

Sinar Harian