Yamaha TMAX Tech Max ini mendapat sambutan yang menggalakkan, di mana 35 unit pertama telah pun habis terjual dalam masa dua minggu sahaja, sementara kumpulan kedua 40 unit yang diperuntukkan untuk produksi bulan November juga telah habis ditempah.

Skuter Automatik Terulung Yamaha TMAX Tech Max ini dikuasakan oleh enjin 562 cc yang digandingkan dengan casis ringan untuk pengendalian yang lebih lancar.
Ia turut mendapat ciri seperti Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT), Accelerator Position Sensor Grip (APSG), serta tetapan suspensi serba baharu dan rim ringan SpinForged Wheels (SFW) untuk pengendalian di selekoh yang lebih baik.

Perubahan yang ketara dibawakan pada kokpit, di mana Yamaha TMAX Tech Max ini didatangkan dengan skrin paparan TFT berwarna penuh tujuh inci dengan tiga mod paparan, serta sokongan sambungan kepada peranti pintar menerusi aplikasi MyRide-Link.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah unit lampu depan LED dengan rekaan moden, pemanas tangan dan pelana, cermin depan penghadang angin boleh laras, penderia pada penutup tangki bahan api, dan dua pilihan warna Dark Petrol dan Power Grey.

Harga jualan Yamaha TMAX Tech Max 2022 bermula dari RM74,998 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.