Honda Accord 1.5L TCP "Stapler" - underdog yang ramai tak tahu

oleh HEZERI SAMSURI|
Orang Melayu memang suka pasukan "underdog", di mana yang tidak dijangka akan muncul sebagai pemenang.

Pembeli utama jenama-jenama China juga datang dari kaum Melayu - dan bila dilihat prestasi produk dan khidmat jualannya bagus, baru kaum lain menurut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

JRD, Nitro, Chery, SYM, Oppo dan Haval adalah antara contoh terbaik. Cuma Geely sahaja yang menggunakan modal besar untuk membeli keyakinan satu negara, dan itu pun kerana mendapat bantuan dari syarikat Melayu juga.

Atas dasar yang sama, orang Melayu juga patut keluar sekarang dan pergi mencuba Honda Accord yang baharu ini kerana ia pasti akan mengubah tanggapan mereka mengenai produk ini di mana ia mempunyai enjin kecil dan tidak sedap dipandu.

 

accord jambatan

 

Tanggapan adalah satu alat yang merbahaya kerana kita juga ada sedan segmen D yang lain dengan enjin yang jauh lebih besar, tetapi realitinya, ia memberikan prestasi yang mengecewakan.

Umpama seorang pria kacak yang nampak "sado" tapi mempunyai masalah kronik di bahagian "itu". 

Seminggu bersama Accord ini membuatkan kami yakin, ramai yang terlepas pandang sedan segmen D dari Honda ini.

 

 

Rekabentuk Luaran

Honda terus meninggalkan bentuk tradisional sebuah sedan dengan Accord ini. Malah ia dengan berani menghasilkan garisan-garisan sporti dengan bentuk ala sportback.

Bahagian sisi pula membuktikan Honda sudah pandai membuat "surface flaming" seperti BMW suatu ketika dahulu.

Lampu LED hadapan yang mengapit gril tebal itu mengingatkan penulis kepada seekor jerung Mako yang sedang lapar.

Lampu belakang berbentuk "stapler" itu memang pada mulanya sangat sukar dihadam. Ia nampak begitu rumit dan terlalu "busy". Selepas beberapa hari, penulis semakin biasa dengannya.

Cuma jika ada yang mahu ditukar ialah roda aloi 18-inci pada varian 1.5 TC-P yang nampak terlalu membosankan.

Varian 1.5 TC menerima nasib yang lebih malang kerana diberikan roda aloi bersaiz 17-inci, menjadikan ia umpama superbike dipasang dengan roda kapchai.

 

 

Bahagian Kabin

Badan Accord ini lebih pendek dari dahulu tetapi jarak antara roda telah dipanjangkan sebanyak 55 mm dan badannya pula dilebarkan 12 mm. 

Hasilnya ialah ruangan kabin yang melaut luasnya. Bahagian kaki penumpang belakang sudah mempunyai ruang untuk memuatkan dua stadium mini dengan nama YB kawasan sementara tempat duduk belakang cukup empuk dan lebar.

Sayangnya, untuk mereka yang tinggi lebih dari 6 kaki, bumbung belakang agak rendah. 

Penumpang yang tinggi juga perlu berhati-hati bila keluar dari pintu belakang kerana bukaan pintu yang juga kecil kerana Accord generasi ke-10 ini mempunyai ketinggian bumbung yang 11 mm lebih rendah.

Untuk pemandu, semuanya lengkap dan teratur. Jika anda sudah biasa memandu Civic dan CR-V, ia lebih mudah kerana "layout" yang seiras.

Touchscreen besar itu datang sekali dengan butang fizikal, yang penulis suka kerana tidak terkial-kial bila digunakan dan lebih segera kerana ada "shortcut buttons" tersebut.

Sistem audio lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan 10 pembesar serta satu subwoofer. Bagi yang suka mendengar lagu mereka dengan dentuman kuat, ini memang memuaskan hati.

 

 

Enjin sedap - paling berkuasa di Asean!

Hanya satu pilihan enjin yang diberikan oleh Honda Malaysia untuk Accord ini, iaitu enjin 1.5L VTEC Turbo 4-silinder petrol.

Ia adalah sama dengan enjin yang digunakan pada CR-V dan juga pada Civic tetapi talaannya berbeza kerana Honda mahukan Accord ini menjadi sebuah model flagship yang istimewa.

Enjin turbo pada Accord ini menghasilkan 201 PS dan 260 Nm, jauh lebih tinggi dari CR-V dan Civic.

Malah, Accord untuk pasaran Malaysia menerima talaan yang paling berkuasa dari Accord yang dijual di Indonesia dan di Thailand (190 PS dan 243 Nm).

 

accord tayar

 

Digandingkan dengan transmisi CVT Earth Dreams, Accord Stapler ini mampu memecut dari 0 - 100 kmsj dalam masa 9.0 saat (varian 1.5 TC) dan 9.1 saat (varian 1.5 TC-P - roda aloi bersaiz 18 inci).

Halaju maksimum pula ialah dalam 190 kmsj, cukup laju untuk sedan segmen D. 

Penggunaan bahan api pastinya lebih baik dari enjin 2.4L lama. Kadar penggunaan rasmi petrol yang diberikan oleh Honda Malaysia ialah 6.3L/100km. 

Penulis menggunakan 48 liter petrol RON95 untuk perjalanan sejauh 600 km, dan tangki Accord ini hanya sebesar 56 liter. Cara pemanduan pula bercampur antara lebuhraya, jalan persekutuan dan jalan bandar. 

Ini bermakna, Accord kali ini bukan sahaja berkuasa tetapi menjimatkan!

 

 

Pengendalian

Sistem gantungan Macpherson di depan dan multi-link di belakang memberikan pemanduan yang tidak berbuai-buai di atas lebuhraya atau di laluan berliku.

Ia tidak sehebat Civic yang lebih kecil, tetapi untuk Accord, ia adalah model Accord yang paling sporti pernah dihasilkan untuk pasaran Malaysia.

Dari segi keselesaan, ia memang cukup mantap - baik di lebuhraya atau di kawasan luar bandar. Ia juga jauh lebih senyap dan tempat duduk belakang adalah satu kawasan yang premium kerana terlalu selesa.

 

accord sport mode

 

Kawalan stereng juga dirasakan lebih tepat, tidak lagi terlalu lembab dan terlalu "ringan". Ini adalah antara ciri-ciri baharu yang dijangka mampu menarik perhatian pembeli yang datang dari generasi hujung 30-an atau awal 40-an.

Cuma dalam kelajuan yang sangat laju, stereng mungkin boleh diberikan sedikit rasa telus seperti kenderaan Eropah.

Hud juga kelihatan bergegar bila kelajuan melepasi 100 kmsj. Tak ada masalah pun cuma untuk netizen, mulut lazer mereka akan berkata hud mungkin akan tercabut dan terbang. 

Biarkan sebab cakap-cakap di media sosial itu tak perlu dibayar.

 

 

Kesimpulannya?

Accord baharu ini duduk dalam kelompok sedan segmen D yang harganya kini sudah berubah dari RM160,000 kepada hampir RM180,000.

Untuk Accord 1.5 TC, harganya bermula dari RM178,203 tanpa insuran. Varian 1.5 TC-P yang kami cuba ini pula bermula dari RM187,390.73, juga tanpa insuran.

Jangan mengeluh kerana jualan untuk segmen ini masih lagi baik, cuma Accord kini berdepan dengan seteru-seteru sekufu dari segi harga (Accord masih yang terendah). 

Antaranya ialah Toyota Camry, Mazda6, Volkswagen Passat dan juga model-model kemasukan dari BMW atau Mercedes-Benz.

Mungkin ini ialah apa yang diperlukan oleh peminat Accord setelah sekian lama dengan imej "uncle-uncle" terdahulu.

Bagi penulis, Accord generasi ke-10 ini ialah satu permata yang tersorok.

Dan selagi jauhari yang mengenal manikam, maka Accord kali ini akan kekal eksklusif untuk mereka yang tahu sahaja.

 

* Layan gambar-gambar Accord 1.5 TC-P kami di pautan ini - Gambar Honda Accord 1.5L TC-P 2020

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti kei-car lain, N-VAN digerakkan enjin 660 cc bagi varian G, L, FUN, FUN STYLE+ NATURE …
Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…