Acara ASEAN NCAP Grand Prix Awards ini bertujuan untuk meraikan pencapaian tertinggi di dalam aspek keselamatan kenderaan di rantau ASEAN, pertama kali diadakan di Kuching, Sarawak (2014), diikuti Kuala Lumpur (2016) dan Karawang, Indonesia (2018).
Daripada senarai yang diperlihatkan, Honda Accord ternyata berjaya merangkul anugerah prestasi keselamatan terbaik ASEAN NCAP 2020 dengan mengungguli kategori perlindungan penumpang dewasa dan kanak-kanak, sementara kategori bantuan keselamatan pula dimenangi oleh Toyota Majesty/Granvia.
Lebih menarik apabila sebuah syarikat automotif yang baharu muncul dari Vietnam, Vinfast turut dinobatkan sebagai syarikat baharu yang memberikan komitmen terhadap aspek keselamatan kenderaan.
Menurut Ketua Pengarah MIROS yang merangkap Setiausaha Agung ASEAN NCAP, Ir.Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, "sejak bertahun, kami melihat usaha yang dilakukan dalam memastikan kenderaan yang ditawarkan memiliki ciri keselamatan yang terbaik untuk para pengguna jalan raya.
"Oleh sebab itu, anugerah ini bertujuan untuk memberikan lebih daya saing kepada model-model tersebut berbanding model yang tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif, atau bantuan keselamatan termaju.
"Sebagai sebuah organisasi yang telah wujud selama 10 tahun, kami juga mahu menghargai bukan sahaja kenderaan akan tetapi individu serta organisasi yang telah bekerja bersama ASEAN NCAP dalam memastikan kepentingan keselamatan kenderaan.
"Saya berharap agar dapat bekerjasama dengan individu dan organisasi ini, serta kenderaan akan datang di bawah protokol penilaian baharu ASEAN NCAP 2021-2025.