Honda ADV150 2020 masuk pasaran Thailand, bermula dari RM13,500

oleh Mohamad Hanif|
Sementara rakyat Malaysia masih lagi menanti-nantikan kehadiran skuter Honda ADV 150, AP Honda selaku pendahulu di dalam industri motosikal Thailand melancarkan skuter tersebut untuk pasaran tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sama seperti model terdahulu, Honda ADV150 dikuasakan oleh enjin eSP 150 cc empat lejang dengan sistem pancitan bahan api yang mampu menghasilkan 14.5 PS dan daya kilas 13.8 Nm.

Penggayaan skuter kembara cilik ini diserlahkan dengan sistem lampu utama LED berkembar sepenuhnya, dibantu dengan lampu nyalaan siang LED, serta rim aloi dalam kemasan warna emas atau hitam.

 


Untuk memastikan pengendalian yang lebih mudah di laluan urban, Honda telah melakukan sedikit perubahan seperti suspensi belakang berkembar sub-tangki daripada Showa, bar hendal yang sedikit lebar, serta sistem brek cakera depan dan belakang dibantu dengan ciri ABS.

Ia ditambah dengan ciri Emergency Stop Signal (ESS) yang akan diaktifkan saat brek ditekan secara tiba-tiba, serta sistem kekunci kawalan jauh yang hadir dengan fungsi pengesanan dan alat penghalang kecurian.

 


Segala informasi penting dipaparkan menerusi skrin LCD, manakala posisi ketinggian cermin hadapan juga boleh diubah dua cara mengikut kesesuaian.

Selain daripada itu, aspek praktikaliti kegunaan seharian diteruskan dengan penyediaan slot pengecasan USB pada ruang kargo di bahagian hadapan.

 


Harga jualan untuk Honda ADV150 2020 bermula dari 98,900 baht (RM13,500) dan boleh didapati di seluruh cawangan Honda Wing Center di Thailand.