Honda BR-V 2022 rasmi di Thailand - dua varian, nadi 1.5L NA, dari RM113k

oleh Mohamad Hanif|
Setelah diperkenalkan buat kali pertama di Indonesia, Honda kini menawarkan MPV tiga baris tempat duduk generasi baharu untuk negara jiran, Thailand.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda BR-V yang sebelum ini diperlihatkan menerusi model N7X Concept pada tahun lalu dilihat membawakan pelbagai perubahan bagi menjadikannya lebih relevan dengan peredaran masa.

Dari segi dimensi, model BR-V generasi kedua ini membawakan ukuran sepanjang 4,490 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,695 mm.
 

Brv


Sebagai perbandingan, Honda BR-V yang masih dijual sehingga kini berukuran 4,457 mm, lebar 1,735 mm, tinggi 1,677 mm dengan jarak antara roda yang sedikit pendek, 2,662 mm.

Untuk pasaran Thailand, Honda BR-V hanya ditawarkan eksklusif dengan enjin aspirasi natural 1.5 liter sahaja, menghasilkan kuasa setinggi 121 PS @ 6,600 rpm dan daya kilas 145 Nm @ 4,300 rpm yang dipadankan dengan CVT.

Secara standard, BR-V 2022 mendapat kelengkapan seperti rim bersaiz 16 inci, stereng elektrik, sistem brek cakera berliang di depan, brek dram di belakang, dan lampu utama LED automatik beserta lampu DRL LED.
 

BR-V


Ruang kabin pula menempatkan skrin paparan Display Audio bersaiz tujuh inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng balutan kulit, sistem pendingin hawa automatik,  corong pendingin hawa baris belakang, serta skrin MID 4.2 inci.

Varian tertinggi EL pula mendapat tambahan ciri seperti rim yang lebih besar (17 inci), gril hadapan hitam piano, lampu kabus LED, upholsteri kulit hitam, enam pembesar suara (berbanding empat pada model E), serta beberapa tambahan ciri kemudahan lain.

Mengikuti rentak Honda semasa, BR-V generasi baharu juga kini didatangkan dengan kelengkapan Honda SENSING sebagai satu ciri standard untuk semua varian.
 

brv


Ia merangkumi komponen seperti Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM) dengan Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Suluhan Tinggi (AHB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Sistem Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN).

Tidak ketinggalan, sistem beg udara SRS (empat untuk E, enam untuk EL), ABS, EBD, VSA, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Honda LaneWatch, peringatan tali pinggang keledar, serta kamera undur yang sangat diperlukan untuk sebuah MPV.

Harga jualan Honda BR-V 2022 bermula dari 930,000 baht (RM113,030) sementara varian EL pula dijual pada harga 980,000 baht (RM119,107), jauh lebih mahal berbanding BR-V terdahulu.