Honda CB125R 2024, enjin kecil spesifikasi bagus!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda CB125R
Honda CB125R
Sekumpulan pengguna di dalam negara memerlukan motosikal tangkas dalam memecut dan mempunyai kelajuan yang baik.

Beberapa faktor mempengaruhi seperti jenis kegunaan dan rangkaian jalan raya.

Dari segi gaya, kumpulan pengguna yang sama mahukan reka bentuk berpadanan atau reka bentuk dan kelajuan biar seiring.

Di pasaran seperti Eropah, lain pula citarasa, keperluan dan pelanggan sasaran.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Honda CB125R 2024

 

Sebagai contoh Honda memasarkan CB125R yang menggunakan enjin paling kecil dalam siri Neo Sports Café.

CB125R dilancar pada 2017 serentak dengan CB300R dan CB1000R. Meneruskan penawaran, CB125R 2024 dilengkapi meter, warna dan piawaian enjin baharu.

Pada 2021, CB125R menerima enjin baharu dan naik taraf suspensi depan. Untuk 2024, enjin yang digunakan mematuhi piawaian EURO5+ yang berkuatkuasa pada tahun ini. 

Perubahan untuk EURO5+ turut merangkumi pengawasan terbina dalam untuk pemangkin, penurunan ambang pengesanan kerosakan dan amaran lebih awal kepada penunggang. 

Honda CB125R 2024

 

Lagi perubahan seperti kadar bunyi lebih ketat dan pelepasan emisi ekzos untuk jangka masa panjang.

Enjin 125cc, silinder tunggal, DOHC menghasilkan 14.7 kuasa kuda (hp) pada 10,000 rpm dan tork 11.6Nm pada 8,000 rpm. Enjin disatukan dengan kotak gear enam kelajuan.

Pemangkin (catalyser) di dalam sistem ekzos ditukar baharu dan tidak menjejaskan prestasi. 

Berapa kelajuan tertinggi? 105 kilometer sejam (km/j) dan pecutan dari 0 sehingga 200 meter memerlukan 11.3 saat.

 

Honda CB125R 2024

 

 

Untuk suspensi, bahagian depan menggunakan sepit udang terbalik (USD) Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP) 41 milimeter (mm).

Kedua-dua batang sepit udang diasingkan dengan sebelah menggunakan peredam tekanan dan sebelah lagi mempunyai gegelung.

Rekaan itu dibuat untuk prestasi redaman yang baik dan pengurangan berat. Bersama omboh lebih besar, rasa (feel), serapan hentakan dan kawalan menjadi lebih baik.

Penyerap hentak belakang jenis tunggal dan tidak boleh dilaras. Tayar 110/70R-17 dipasang di depan dan 150/60R-17 di belakang.

 

Honda CB125R 2024

 

Menghentikan CB125R ialah cakera depan terapung 296 mm dengan angkup Nissin empat omboh bersama cakera 220 mm dan omboh tunggal di belakang. 

Kedua-duanya dilengkapi ABS dua saluran. Sistem beroperasi melalui Unit Pengukuran Inersia (IMU) untuk pembahagian depan dan belakang dengan tepat mengikut kelakuan motosikal.

Dari segi tunggangan, pelana mermpunyai ukuran tinggi 816 mm dan jarak kelegaan bumi 140 mm. Hendal boleh diputar 40 darjah dengan bulatan pusing 2.3 m.

Berat motosikal 130 kilogram (kg) dengan pembahagian berat 51.5 peratus di depan dan 48.5 peratus di belakang.

 

Honda CB125R 2024

 

Honda membekalkan tangki petrol 10.1 liter dan dengan kadar penggunaan 45.5 kilometer per liter (km/l) (mod WMTC) motosikal ini boleh ditunggang sehingga 460 km.

Meter CB125R 2024 jenis TFT warna penuh dan berukuran lima inci yang disesuaikan dari CB1000R. 

Penunggang boleh memanfaatkan tiga jenis paparan seperti kelajuan/rev, analog atau bentuk bar dan maklumat lain seperti indikator penukaran gear atas boleh ubah.

 

Honda CB125R 2024

 

Honda menawarkan empat warna untuk CB125R 2024 seperti berikut:

  • Pearl Cool White, Reef Sea Blue Metallic dan Pearl Splendor Red dengan pelindung takungan dan reraut hitam Matt Cynos Gray Metallic 
  • Matt Cynos Gray Metallic dengan pelindung takungan dan reraut hitam 

Logo sayap Honda pada CB125R Matt Cynos Gray Metallic juga unik dalam warna emas berbanding hitam pada model lain.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda CB125R 2024