Honda CBR250RR - 10 unit sahaja, bermula dari RM30 ribu, lengkap dengan pakej perlumbaan rasmi

oleh Mohamad Hanif|
Serentak dengan pelancaran rasmi model Honda Rebel 2020, Boon Siew Honda turut sama memperkenalkan program baharu yang dinamakan sebagai Boon Siew Honda 250 cc Racing Support Programme.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Program sokongan perlumbaan ini bakal membekalkan pasukan yang ingin bertanding di dalam Malaysia Superbike Championship kelas MSBK250 dengan jentera Honda CBR250RR pada harga diskaun.

Spesifikasi asas jentera Honda CBR250RR tersebut akan disediakan oleh Boon Siew Honda dengan pakej penuh bernilai RM50,000, namun untuk pasukan serta penunggang yang berminat hanya perlu membayar amaun sebanyak RM30,000 sahaja.

 


Objektif sebenar Boon Siew Honda adalah untuk mengangkat taraf sukan perlumbaan motosikal secara amnya, di mana sebelum ini pihak BSH sememangnya aktif di dalam arena tersebut seperti contoh Honda Dash 125 Challenge di dalam Petronas Malaysian Cub Prix Championship, serta pasukan tersendiri di dalam Asia Road Racing Championship.

Hanya 10 slot sahaja yang akan dibuka untuk peringkat awal, di mana para pembeli akan menerima unit masing-masing menjelang hujung tahun ini sebelum memulakan cabaran perlumbaan pada April 2021.

Jika dirujuk kepada spesifikasi, jentera lumba Honda CBR250RR didatangkan dengan nadi silider berkembar 249.7 cc yang menghasilkan 41 PS dan 25 Nm daya kilas standard, namun hadir dengan kelengkapan aksesori perlumbaan seperti ECU, sistem ekzos, suspensi, tayar dan butang kawalan yang diperlukan.