Honda Civic Type R TC - untuk kegunaan litar sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Keluarga Honda Civic Type R kini semakin berkembang dengan pengenalan model baharu untuk kegunaan litar sepenuhnya - Civic Type R TC yang dibangunkan oleh Honda Performance Development (HPD).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, ia hanya dikhaskan kepada ahli Honda Racing Line yang memiliki lesen perlumbaan yang sah sahaja, dan jentera ini layak untuk menduduki mana-mana perlumbaan SRO TC Americas Touring Car. 

Jika mengikut hierarki, Honda Civic Type R TC ini duduk ditengah-tengah antara penawaran Honda Civic Si TCA yang lebih murah dan juga Honda Civic Type R TCR.

 


Di Amerika, Honda Civic Type R TCR merupakan unit yang dibangunkan sepenuhnya oleh JAS Motorsport dengan harga yang lebih mahal, jadi alternatif yang lebih murah adalah Honda Civic Type R TC. 

Ia masih menggunakan nadi 2.0 liter empat silinder sebaris berkuasa turbo K20C1 yang boleh dikonfigurasikan outputnya bergantung kepada siri perlumbaan mana yang anda sertai. 

Kuasa yang ditala itu tadi akan disalurkan kepada roda hadapan menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan, dengan nisbah gear ketiga dan keempat yang telah ditambah baik dan menerima komponen limited slip differential HPD Cusco. 
 


Sistem suspensi juga turut diubah bagi menyesuaikan dengan karakteristik kenderaan di litar lumba, seperti penggunaan penyerap hentak boleh laras HPD/Bilstein, spring perlumbaan Eibach, serta beberapa modifikasi lain yang sesuai. 

Sistem pemberhentian jentera ini diserahkan kepada angkup brek Brembo empat omboh yang mencengkam rotor HPD Girodisk bersaiz 350 mm x 32 mm, manakala bahagian belakang pula kekal dengan barangan OEM. 

Di bahagian luar, HPD telah melengkapkan gril hadapan beraliran tinggi, hud berliang J's Racing, sayap belakang boleh laras HPD APR serta cermin sisi elektrik boleh laras. 
 


Sementara itu, ruang kabin telah menerima komponen sangkar keselamatan berbilang poin termasuklah tempat duduk, harness, tingkap, sangkar tengah, serta sistem kawalan api kesemuanya daripada pengeluar OMP Racing. 

Jadi, dengan senarai kelengkapan yang sebenarnya sangat panjang, anda hanya perlu membayar wang sebanyak $89,900 (RM373,936) untuk sebuah Honda Civic Type R TC dengan syarat, anda perlu menjadi seorang ahli Honda Racing Line yang sah. 

Untuk ahli Honda acah Kanjo Racing, kami kurang pasti pula ya. 

 


Sebagai perbandingan, Honda Civic Si TCA (bersesaran 1.5 liter) berharga $52,500 (RM218,372) manakala jentera paling berkuasa Honda Civic Type R TCR pula berharga sekitar $172,238 (RM716,419)!