Honda CR-V 2023 - generasi baharu didedahkan, pilihan enjin 1.5L atau 2.0L hibrid

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa kali gambar acah disiarkan, Honda akhirnya secara rasmi melancarkan generasi baharu SUV segmen C Honda CR-V 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk generasi terbaharu ini, Honda mengambil inspirasi rekaan daripada model pasaran Amerika Syarikat seperti Ridgeline dan Passport TrailSport, di mana rekaan gril hadapan menjadi lebih besar dan menegak, diikuti dengan unit lampu LED yang menjadi semakin nipis.
 

CRV


Rekaan unit lampu belakang juga telah disemak semula dengan grafik yang lebih mewah penampilannya.

Dari segi ukuran, CR-V 2023 ternyata jauh lebih besar berbanding model yang digantikannya itu, dengan ukuran sepanjang 4,694 mm, dan jarak antara roda kini menjadi 2,700 mm.

Selain daripada itu, Honda juga telah mengalihkan posisi tiang A sedikit ke belakang diikuti dengan cermin sisi yang kini berada di posisi baharu.
 

CRV


Platform yang digunakan pada model CR-V baharu ini merupakan senibina global yang telah dipertingkatkan, di mana ia menawarkan pemanduan yang lebih lancar, kestabilan yang lebih baik, tahap ketegaran casis 15 peratus lebih tinggi, sementara talaan kepada sistem suspensi depan dan stereng berbilang nisbah mampu meningkatkan tahap kejituan pengendalian.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Honda CR-V boleh didapati dengan versi enjin 1.5 liter turbo menghasilkan kuasa 190 hp dan 243 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT, atau versi hibrid baharu dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang digandingkan dengan motor elektrik berkembar, menghasilkan kuasa setinggi 204 hp dan 335 Nm.
 

CRV


Ruang kabin pula menempatkan susun atur yang hampir sama dengan model Civic generasi kesebelas (Civic FE) dengan rekaan yang lebih minimalis, dan diserikan dengan jaringan sarang lebah yang berjaya menyembunyikan corong pendingin hawa daripada pandangan umum.

Secara standard, Honda CR-V 2023 datang dengan skrin kluster instrumen tujuh inci dan skrin infotainmen bersaiz tujuh inci yang lengkap dengan tombol pelarasan fizikal, sementara dua varian tertinggi pula akan mendapat skrin infotainmen bersaiz sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, serta pengecasan peranti pintar nirwayar 15W.

Varian tertinggi juga turut didatangkan dengan sistem audio premium Bose dengan 12 pembesar suara.
 

CRV


Secara standard, Honda CR-V 2023 dilengkapi dengan ciri Honda Sensing yang merangkumi unit kamera baharu sudut lebar 90 darjah, radar gelombang milimeter 120 darjah, Bantuan Kesesakan Trafik, Kawalan Brek Kelajuan Rendah, Sistem Pengesanan Papan Tanda Trafik, Kawalan Jelajah Adaptif dengan Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah, Bantuan Pengekalan Lorong dan sistem informasi titik buta.

Setakat ini, harga jualan untuk pasaran Amerika masih lagi belum didedahkan, dan hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi pada musim panas nanti.

Berita Berkenaan

Berita Global
SUV segmen C Honda CR-V pertama kali diuji pada tahun 2014, di mana ia berjaya memperoleh lima…
Berita Global
  Kedua-dua sistem hibrid menggunakan nadi utama enjin petrol 2.0 liter pancitan terus kitaran…
Berita Global
SUV itu muncul di booth Honda bersempena dengan acara Bangkok International Motor Show 2023 dengan…