Seperti namanya, Honda CR-V Black Edition tampil dengan kemasan luaran berwarna hitam, penampilan gril baharu dengan kemasan yang tersendiri, serta unit lampu utama LED.

Sementara bahagian belakang pula didatangkan dengan kemasan bampar hitam dengan penggayaan maskulin, dan dilengkapi dengan set rim aloi bersaiz 18 inci dengan layangan warna hitam piano.
Kemasan hitam di bahagian luar itu tadi diteruskan temanya pada bahagian dalam, menerusi roda stereng, paparan meter TFT tujuh inci dan corong pendingin hawa kemasan hitam piano.

Kemasan kayu yang terdapat pada model CR-V kali ini didatangkan dengan tema hitam, diikuti dengan headliner, serta tempat duduk dengan sulaman 'Black Edition'.
Honda CR-V masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC turbo yang mampu menjana 193 PS dan daya kilas 243 Nm, dibantu dengan ciri seperti bantuan menghidupkan enjin jarak jauh yang membolehkan pemilik menghidupkan kereta dan fungsi pendingin hawa sebelum memasuki kenderaan.

Untuk kemudahan, Honda CR-V turut didatangkan dengan ciri pintu tailgate berkuasa bebas tangan yang boleh diaktifkan menerusi penderia pada bahagian bawah bampar belakang, dan tidak ketinggalan ciri keselamatan Honda SENSING.
Harga jualan Honda CR-V Black Edition bermula dari RM161,913.99, menjadikannya salah satu opsyen yang boleh dipilih selain tiga varian yang tersedia (2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD & 1.5 TC-P 4WD).