Honda CR-V e:FCEV 2025 - SUV sel bahan api hidrogen dengan pek bateri yang boleh dicas

oleh Mohamad Hanif|
Dari segi luaran, Honda CR-V 2025 ini mungkin nampak sama sahaja dengan model SUV CR-V yang telah dilancarkan sebelum ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, bagi mereka yang memiliki pandangan yang tajam boleh membezakannya dengan melihat struktur bampar dan fender yang telah berubah, serta kehadiran dua penutup 'tangki bahan api' berbeza yang wujud pada SUV ini memberikan petanda ia bukanlah CR-V yang biasa.
 

crv


Memperkenalkan, Honda CR-V e:FCEV 2025, sebuah SUV berkuasa sel bahan api hidrogen dipadankan dengan pek bateri yang boleh dicas berasingan.

Honda menyifatkan CR-V e:FCEV ini sebagai satu-satunya kereta penumpang sel bahan api yang dipasang di Amerika Syarikat.

SUV segmen C ini menggunakan modul sel bahan api generasi kedua yang dibangunkan bersama General Motors, dengan kos pembangunan dua pertiga lebih murah berbanding model Clarity Fuel Cell.
 

fcev


Sistem FCEV itu terdiri daripada motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 174 hp dan 310 Nm, dipadankan dengan tangki hidrogen berkapasiti 4.3 kg yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 435 km.

Sekiranya destinasi yang dituju tidak mempunyai infrastruktur pengisian hidrogen, usah risau kerana CR-V ini dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 17.7 kWh, membolehkan SUV ini dipandu sejauh 47 km.

Disebabkan kehadiran sistem FCEV dan pek bateri, Honda telah menala kembali sistem gantungan CR-V ini supaya dapat menampung pengagihan berat badan untuk gandar depan dan belakang, selain memadankan bar pengimbang, peredam dan spring baharu.
 

fcev


Selain daripada kehadiran dua corong pengecasan/pengisian yang berbeza, Honda CR-V e:FCEV ini turut didatangkan dengan perumah lampu belakang jernih, diikuti dengan rim aloi hitam bersaiz 18 inci dan panel bawah badan tertutup sepenuhnya untuk manfaat aerodinamik.

Terdapat satu sahaja varian e:FCEV ditawarkan menerusi trim Touring, di mana CR-V ini mendapat ciri seperti tempat duduk boleh laras berkuasa elektrik dengan fungsi pemanas, sistem audio Bose 12 pembesar suara, kawalan iklim dua zon, pemanas roda stereng dan slot pengecasan peranti tanpa wayar.
 

fcev


Secara standard, CR-V datang dengan susun atur papan pemuka yang minimalis, diikuti skrin tengah bersaiz sembilan inci, skrin kluster digital 10.2 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar.

Tipikal untuk sebuah EV dan PHEV, CR-V e:FCEV ini turut menyokong pengecasan dua arah yang mampu menyalurkan kuasa maksimum 1,500 watt - cukup untuk kegunaan barangan elektrik rumah, perkakasan kuasa, kelengkapan perkhemahan dan penyejuk udara mudah alih.
 

fcev


Walaupun dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat (dan bakal ditawarkan di Jepun kelak), Honda CR-V e:FCEV 2025 hanya boleh didapati menerusi pakej pajakan yang terhad untuk negeri California sahaja.

Untuk makluman, California merupakan satu-satunya pasaran di Amerika Syarikat yang mempunyai sehingga 55 buah infrastruktur pengisian hidrogen sebelum gergasi O&G Shell membuat keputusan untuk menutup kesemua tujuh buah stesen hidrogen kendaliannya pada bulan ini.