Honda CR-V - Sebenarnya, ia bukan untuk BBNU

oleh HEZERI SAMSURI|
Dalam banyak-banyak model Honda yang berjaya, semestinya Honda CR-V termasuk dalam senarai.

Ini ialah model Honda yang berjaya bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia dan walaupun ada yang berkata jenama-jenama baharu lebih berbaloi, lebih bagus, lebih berkuasa, lebih itu ini, sasaran utama pasaran Honda CR-V ini ialah mereka yang sudah matang dan sudah membeli banyak kenderaan sebelum ini.

Kita lihat apa yang disering dituduh oleh netizen bila mereka mendengar ada pujian berkaitan Honda CR-V.

Belian tak berbaloi?

Jika kita lihat dari satu sudut, memang benar. Jenama baharu memberikan lebih banyak aksesori, lebih banyak fungsi dan enjin yang lebih bertenaga.

 

honda

 

Malang sekali mereka ini tidak faham pemilik CR-V lebih mementingkan khidmat lepas jualan yang terbukti dan jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia.

Tidak ada pusat servis yang sempurna, tetapi selagi pengalaman mereka baik, mereka akan kekal bersama jenama itu.

 

honda

 

Jenama yang lama bertapak di Malaysia bermakna mereka ada kepercayaan akan syarikat itu dan tahu mereka tidak akan ke mana-mana.

Stabiliti jenama ialah apa yang mereka mahukan kerana itu lebih berbaloi dan lebih berguna dari 10 jenis skrin dan 300 warna lampu kabin.

 

Waranti dan jaminan yang terbukti

Waranti dan jaminan yang diberikan oleh Honda Malaysia sebenarnya tidaklah "wow" mana tetapi ia terbukti dan ramai pemilik tahu ia bukan janji kosong.

 

honda

 

Kita boleh beri jaminan selama 1,000 tahun tapi jika ia tidak terbukti lagi, adakah anda mahu menjudikan RM150,000 untuk mengetahui jaminan dari jenama baharu itu betul-betul terpakai?

 

Prestasi yang memang sudah diketahui umum

Pemilik CR-V datang dari era di mana pengetahuan teknikal seiring dengan pengalaman mereka sendiri. Contohnya, mereka faham apa itu teknologi V-TEC dan mereka tahu apa kelebihan yang akan dinikmati.

 

honda

 

Anda boleh menjanjikan teknologi dari Planet Zargus tetapi jika ia belum terbukti, adakah anda mahu menjadi tikus makmal?

 

Refinement - Honda masih di depan

Kebanyakan mereka yang memandu uji jenama-jenama baharu tetapi kemudian mengambil keputusan untuk membeli jenama legasi memberikan isu "refinement" sebagai alasan.

Produk-produk jenama baharu memang ada yang selesa, ada yang senyap tetapi secara keseluruhan , ia tidak dapat memberikan "refinement" yang tinggi.

 

honda

 

Pedal yang bebas gegaran, stereng yang terasa padat, deruman enjin yang menarik - ini semua akan dicari oleh pembeli-pembeli berpengalaman sementara geng BBNU (Budak-Budak Baru Nak Up) lebih kepada benda-benda yang visual kerana pengalaman yang kurang.

 

Harga jual balik

Mahu atau tidak, kita hendak harga jual balik yang tinggi agar kita boleh "upgrade" ke model baharu.

Untuk BBNU, mereka akan kata RV atau "Resale Value" tidak penting, sehingga mereka lihat perbezaan harga berpuluh-puluh ribu antara kereta mereka dan Honda.

Ketika itu, mereka akan menjadi netizen paling senyap di dunia.

 

honda

 

Kestabilan ekonomi lebih penting

Pembeli CR-V adalah mereka yang sudah mempunyai keluarga dan kebanyakannya anak-anak yang sedang belajar.

Mereka tidak mahu dikejutkan dengan bil-bil yang besar dan mereka tahu risiko itu rendah dengan jenama-jenama legasi.

Pengalaman jenama baharu selama tiga ke empat tahun masih tidak cukup untuk menjamin tahap stabiliti yang mereka perlukan.

 

honda

 

Secara ringkas, stabiliti ialah apa yang mereka mahukan dan pembeli CR-V terletak dalam kelompok M40 yang jauh lebih bijak dari netizen-netizen di alam maya.

Sebagai pembeli yang berpendidikan tinggi dan matang, mereka tahu apa yang lebih penting dan kerana itu, Honda CR-V akan sentiasa mempunyai peminatnya yang ramai!

 

honda