Honda EX5: MOTOR FEVERET MAT DESPATCH!

oleh Mohamad Hanif|
Motosikal jenis underbone (atau lebih mesra dikenali dengan nama kapcai) merupakan model yang paling banyak terjual dan digunakan di rantau Asia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Sejarah serta asal usul motosikal jenis step thru ini sebenarnya hadir dari benua Eropah dan bukannya dari Jepun seperti yang diketahui sebelum ini.

Konsep step thru ini sebenarnya merupakan sebuah motosikal yang diperbuat daripada rangka step thru, serta sebuah platform untuk meletakkan kaki.

Ini adalah berbeza daripada motosikal normal (pada ketika itu) di mana kaki penunggang diletakkan berdekatan dengan tangki bahan api atau casis motosikal itu sendiri. Contoh yang paling hampir adalah skuter seperti Vespa atau Lambretta.

Semenjak daripada tahun 1914, skuter telah berevolusi dengan teknologi dan enjin yang lebih moden dan jimat bahan api.

 


Namun, pada tahun 1958 Honda telah melancarkan sebuah motosikal underbone ringan yang mengubah senario motosikal selamanya dengan model C100 yang tidak lain menampilkan rangka backbone dengan lantai rendah, pelindung plastik besar untuk melindungi penunggang daripada habuk dan hujan, transmisi tiga kelajuan yang ekonomikal dan enjin empat lejang sejukan udara OHV.

Konsep yang dibawakan oleh Honda adalah mudah - sebuah motosikal dua roda untuk semua orang di negara maju atau negara membangun, sesuai untuk kawasan bandar dan luar bandar.

Apa yang pasti, dengan kos pengeluaran yang serba rendah, ia diterjemahkan kepada harga jualan yang lebih murah, ditambah pula dengan ciri yang mudah ditunggang, kos penyelenggaraan yang rendah, enjin yang ekonomi dan tahan lasak menjadikan ia satu rebutan ramai pada ketika itu.

Dengan kejayaan model C100, Honda mula melancarkan model-model motosikal lain oleh kerana nama Honda itu sendiri sudah tertanam di dalam minda sebagai jenama yang boleh dipercayai, tahan lasak, jimat minyak dan kurang bermasalah, dan hampir setiap orang mampu untuk memilikinya. Selebihnya adalah sejarah.

 


Dan daripada jutaan motosikal yang melata di atas jalan raya di Malaysia, penulis percaya salah sebuah model yang perlu diberikan penghormatan sebagai sebuah ikon tidak lain dan tidak bukan adalah model asal EX5 (dengan kod GN5) yang pertama kali dilancarkan di Malaysia pada tahun 1986.

Menurut statistik, model EX5 ini sahaja telah pun berjaya dijual sebanyak 2 juta unit semenjak pengenalan kali pertama lebih tiga puluh tahun yang lalu.

Walaupun pengeluar lain cuba untuk meniru resepi yang serupa, namun tiada satu pun yang berjaya menandingi kejayaan yang dikecapi oleh Honda EX5.

Penulis juga turut memiliki sebuah model yang diproduksikan pada tahun 1992 yang dibeli daripada lelong kenderaan terpakai PDRM dan menggunakannya sehingga ke hari ini.

Sebagai sebuah motosikal yang ditunggang setiap hari, model EX5 ini dibuktikan kelasakan dan ketahanannya, serta alat ganti boleh didapati di mana sahaja dengan harga yang murah di seluruh pelusuk Malaysia, walaupun bukan original.

Penulis akui, model-model terawal Honda EX5 seakan dibina untuk tahan selamanya.

 


Sehinggalah akhir tahun 1990-an, pihak Boon Siew Honda membuat keputusan untuk mengimport model EX5 yang serupa daripada kilang pemasangan di Thailand untuk tujuan pengurangan kos dan enjin serba baharu.

Namun, berdasarkan pemerhatian penulis, model yang diimport dari Thailand ini tidaklah setahan model Made in Japan, ini kerana sebilangan besar komponen dalaman enjin didapati dari Vietnam, lokasi di mana pelabur China tertumpu.

Tidak lengkap sejarah tanpa kehadiran cerita-cerita mat rempit, di mana golongan muda ini gemar melakukan modifikasi terhadap Honda EX5 dan menaiktaraf enjin 100 cc asal kepada 110 cc (atau lebih) demi mendapatkan lebih kuasa dan kelajuan tertinggi.

Sesetengah daripadanya mendakwa berjaya mencapai kelajuan tertinggi sekitar 140-170 km/j, terima kasih kepada modifikasi pembesaran bore silinder, pemasangan camshaft dan karburetor yang lebih besar.

Tidak dinafikan modifikasi sedemikian mampu meningkatkan kuasa enjin namun ia tidak diselarikan dengan elemen asas pengendalian seperti pemasangan tayar yang bersesuaian dan naiktraf skill tunggangan - dan ini semua menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan yang meragut nyawa kebanyakan yang masih muda remaja.

Penulis juga sudah banyak menyaksikan kemalangan maut yang serupa melibatkan golongan penunggang yang baharu terjebak dengan superbike setelah berhijrah daripada motosikal underbone.

Kebanyakan daripada mereka yang terlibat tidak faham bahawa asas mekanik dan pengendalian kuasa superbike yang ternyata berbeza berbanding motosikal underbone.

 


Motosikal ikonik EX5 ini ternyata memberikan kenangan yang mendalam bagi generasi muda yang pernah duduk di dalam kelas pekerja pada usia 20-an, di mana majoriti daripada mereka telah pun melihat dan juga menggunakan motosikal tersebut ketika usia remaja atau dewasa.

Berdasarkan pengalaman penulis yang memiliki sebuah EX5, komponen penyerap hentakan yang asal (bertutup) didapati terlalu lembut untuk tidak tahan lama sekiranya penunggang kerap membawa pembonceng, jadi komponen tersebut telah ditukar kepada penyerap jenis gegelung terdedah daripada pengeluar lain.

Walaupun sesetengah komponen telah digantikan dengan alat ganti bukan original, motosikal EX5 penulis yang berusia 28 tahun itu masih lagi kekal kuat, dan adakalanya masih mampu melakukan perjalanan melebihi 200 km dalam masa sehari tanpa sebarang masalah besar.

Antara masalah yang kerap timbul hanyalah enjin yang terlalu panas dan masalah kecil kebocoran minyak disebabkan pengerasan seal getah akibat kepanasan blok silinder enjin.

Kekurangan terbesar model ikon ini adalah lampu utama yang malap dan ia merupakan maklum balas yang diberikan oleh pihak media kepada Honda pada hari pertama EX5 dilancarkan di Malaysia pada tahun 1986/87.

Artikel asal: Norty Foo Peng Hong

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penawaran terbaharu ini membawakan imej gaya klasik yang menggandingkan elemen retro dan juga…
Berita Domestik
Pertama kali diperkenalkan di pasaran pada tahun 1987, Honda EX5 mempunyai reputasi tersendiri…