Honda Forza 250 2023 diperkenal di Jepun, panel depan baru, RM22.2k!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Forza 250 Jepun 2023
Honda Forza 250 Jepun 2023
Satu daripada segmen skuter yang popular di pasaran tempatan ialah jenis 250cc. Banyak pilihan sebenarnya sama ada buatan tempatan atau luar negara seperti Jepun dan Taiwan.

Daripada pelbagai model tersebut, Honda Forza 250 tampil dengan pakej menarik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Honda Selectable Torque (HSTC) dan dijual pada harga RM25,388.

Terbaru di Jepun, Honda memperkenalkan Forza 250 2023 dan mula memasuki pasaran pada 22 Disember 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda Forza 250 Jepun 2023

 

Model terbaru ini tampil dengan perubahan pada hiasan (garnish) lampu besar, panel sisi depan, lampu depan dan belakang.

Perubahan yang dibuat tidak besar dengan panel badan sisi masih sama kecuali panel depan yang ketara berbeza.

Selain itu, bahagian dalam meter termasuk nyalaan juga diubah untuk rekaan yang lebih sofistikated.

Pembeli ditawarkan dua pilihan warna iaitu Pearl Smoky Gray dan Matte Gunpowder Black Metallic.

 

Honda Forza 250 Jepun 2023

 

Forza 250 digerakkan enjin MF17E OHC silinder tunggal empat injap dan padanan transmisi V-matic.

Enjin 249cc Forza menghasilkan 23 kuasa kuda (hp) pada 7,750 rpm dan tork 24Nm pada 6,250 rpm dan sama seperti model pasaran tempatan yang dilancarkan pada 2021.

Sebagai skuter ulang-alik (commuter), Honda membekalkan tangki petrol dengan kapasiti 11 liter.

Storan bawah pelana pula mempunyai kapasiti 48 liter dan boleh memuatkan dua topi keledar muka penuh. Ciri praktikal lain ialah ruang simpan botol dan slot pengecasan USB Jenis C. 

 

Honda Forza 250 Jepun 2023

 

Menghentikan Forza 250 ialah sistem brek ABS depan dan belakang dan masing-masing menggunakan cakera tunggal 256 milimeter (mm) dan cakera 240 mm.

Turut membantu di dalam kecemasan ialah sistem Emergency Stop Signal (ESS) yang akan menyalakan lampu isyarat apabila sistem ABS mengesan pembrekan secara mengejut.

Fungsi itu dapat membantu memberi amaran kepada kenderaan di belakang.

Skuter yang diimport dari Thailand ini dijual pada harga 691,900 yen (RM22,265.93) dan Honda mensasarkan jualan sebanyak 2,800 unit setahun.

Penulis: Muhammad Md Tajudin