Honda Forza 750 2025 diperkenal, ini atau X-ADV 750?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Forza 750 2025
Honda Forza 750 2025
Pengenalan Honda X-ADV 750 2025 (V3) di Eropah menjadi perbualan hangat di media sosial.

Rupa-rupanya Honda ada sebuah lagi buah tangan iaitu Forza 750 juga untuk pelanggan di Eropah. 

Berkongsi enjin dengan X-ADV, Forza 750 membawa konsep skuter maxi berbanding motosikal kacukan. Honda memanggilnya sebagai skuter GT (Grand Touring).

Forza 750 pertama kali diperkenal pada 2021 dan model 2025 tampil dengan perubahan ketara pada reraut depan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

  

Honda Forza 750 2025

 

Reraut Forza 750 tidak mengikut gaya Forza lain dan diteruskan pada model 2025. Walaupun berbeza, rekaannya menarik dan dari depan nampak garang sungguh. 

Rupa yang bekeng banyak dipengaruhi lampu baharu yang lengkap dengan lampu nyalaan siang dan lampu isyarat. 

Reraut baharu mungkin boleh dijadikan wajah standard untuk Forza atau skuter Honda lain. Dari sisi, panel badan juga baharu dan nampak sepadan dengan garisan tajam.

Perkakasan warna perak dihitamkan termasuk lengan ayun dan secara keseluruhan mempunyai potensi untuk menyaingi X-ADV jika ditawarkan secara di pasaran tempatan.

 

Honda Forza 750 2025

 

Reraut dan pemijak kaki rekaan baharu memberikan ruang untuk peha dan kaki dan Honda turut mengubah bentuk pelana untuk keselesaan dan mudah menjejak permukaan jalan.

Dipadan bersama reraut depan ialah skrin yang tinggi dan lebar dan lebih mudah untuk dilaras.

Berukuran 480 milimeter (mm) atau 100 mm lebih lebar, tinggi skrin boleh dilaras sebanyak 120 mm dan 10 darjah berbeza pada bahagian depan.

Skrin boleh direndahkan secara automatik atau diturunkan sampai ke bawah apabila motosikal dimatikan.

 

Honda Forza 750 2025

 

Satu lagi yang menarik ialah fungsi ingatan yang menaikkan semula skrin pada tetapan terakhir. Fungsi ini diaktifkan pada kelajuan 5 kilometer sejam (km/j).

Honda juga meneruskan penggunaan Durabio (resin polikarbonat berasaskan bio) dan lebih banyak plastik kitar semula atau getah digunakan.

Muatan bawah pelana mempunyai kapasiti 22 liter untuk topi keledar saiz penuh. Soket pengecasan USB-C dipindahkan dari bawah pelana ke hendal.

Satu lagi perkakasan yang diberi perhatian ialah skrin TFT warna penuh lima inci dan lebih mudah dilihat di bawah matahari terik.

 

Honda Forza 750 2025

 

Paparan skrin mempunyai tiga pilihan iaitu Bar, Circle dan Simple. Penungggang boleh menghubungkannya dengan telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync.

Suis kawalan skrin pada hendal kiri juga baharu dan menggunakan empat arah dan nyalaan.

Kunci Pintar Forza mempunyai pelbagai fungsi selain kebiasaan sebagai contoh buka dan kunci Kotak Belakang Pintar dan kelipan lampu isyarat untuk mudah dicari pemilik dari jauh.

Sistem Isyarat Brek Kecemasan (ESS) boleh dipadamkan secara automatik. 

 

Honda Forza 750 2025

 

Berbanding pemasa, sistem akan membandingkan kelajuan roda depan dan belakang dan membuat kiraan untuk memadamkan isyarat ESS.

Enjin 745cc SOHC, silinder berkembar sebaris kekal tanpa perubahan mekanikal. Enjin menghasilkan 58.6 ps pada 6,750 rpm dan 69Nm pada 4,750 rpm.

Honda membekalkan tangki dengan kapasiti 13.2 liter dan kadar penggunaan petrol 27.8 kilometer per liter (mod WMTC).

Kotak gear cekam berkembar (DCT) model 2025 dipertingkat dan lebih lancar beroperasi dari pegun dan dikawal pada kelajuan rendah atau di bawah 10 km/j.

 

Honda Forza 750 2025

 

Sistem DCT menggunakan anggaran tekanan minyak cekam seperti Africa Twin 2024. Selain kelajuan rendah, perubahan yang dibuat membantu semasa membuat pusingan U. 

Honda turut memberi perhatian pada Throttle By Wire dan mod Rain diperkemaskan. Kawalan Pemanduan (Cruise Control) dijadikan ciri asas.

Perkakasan gantungan terdiri daripada penyerap hentak terbalik 41 mm dengan jarak gerak 120 mm.

Seperti biasa, bahagian belakang menggunakan lengan ayun Pro-Link atau bersambung dengan penyerap hentak tunggal dan jarak gerak seperti di depan.

 

Honda Forza 750 2025

 

Rim 17 inci dan 15 inci depan dan belakang nampak sama tetapi berbeza dan masing-masing dipadan bersama tayar 120/70 dan 160/60.

Dua cakera brek depan saiz 310 mm diapit angkup empat omboh dan cakera 240 mm dan angkup tunggal di belakang. Cengkaman brek dibantu ABS dua saluran.

Honda Forza 750 2025 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Mat Warm Ash Metallic dan Iridium Gray Metallic dengan pelindung enjin dan kemasan Graphite Black

Satu lagi warna bertemakan gelap iaitu Mat Ballistic Black Metallic.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda Forza 750 2025