
Model rupa baharu (facelift) diperkenal pada 2019 dan ada buah tangan terbaru untuk pengguna di sana.
Honda Freed dan Freed Crossstar ditawarkan dalam versi Black Style dan tampil bergaya.
Freed diterima baik oleh pelbagai kategori pelanggan di Jepun disebabkan oleh kedudukannya sebagai kereta yang bersesuaian atau 'just right'.
Ruang dalaman luas dengan variasi tempat duduk dan dipakejkan dalam dimensi badan yang tidak besar sangat. Honda memang pandai buat dalaman kereta.

Seperti namanya, Freed Crossstar Black Style membawa tema hitam atau lebih popular dengan nama Black Edition di kalangan pengeluar kereta.
Gril depan dan pendakap but belakang dibuat dalam warna hitam krom dan warna Crystal Black Pearl digunakan pada cermin sisi, pembuka pintu dan rel bumbung.
Rim 15 inci dengan reka bentuk eksklusif untuk Crosstar diwarnakan hitam.

Tidak semuanya hitam, warna gunmetal dilayangkan pada bahagian bawah bampar depan dan belakang yang dibuat seperti plat kelincir (skid plate).
Penutup lampu brek ketiga pula dalam warna jernih. Pada bahagian dalam, balutan kerusi dan panel pintu dijahit dengan sulaman warna perak.
Ada lima warna yang ditawarkan iaitu Twilight Mist Black Pearl, Silver Mist Green Metallic, Platinum White Pearl dan pilihan baharu Sonic Gray Pearl.

Mengerakkan Freed ialah enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson i-DCD dengan transmisi tujuh kelajuan DCT.
Pelanggan yang tidak mahukan enjin hibrid boleh dapatkan model 1.5 liter DOHC i-VTEC pancitan terus dengan transmisi CVT.
Kedua-dua jenis enjin boleh dipadan bersama pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD).

Varian termurah Freed Crossstar Black Style CVT FF dijual pada harga 2,703,800 yen (RM89,392).
Freed+ Crossstar Black Style Hybrid 4WD yang merupakan varian paling premium berharga 3,215,300 yen (RM106,317).
Beza di antara Freed dan Freed+ ialah jumlah tempat duduk dan masing-masing hanya ditawarkan di dalam versi enam dan lima kerusi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin