Tidak seperti HR-V yang sudah mendarat di Eropah, serta beberapa pasaran Asia Tenggara, Honda HR-V 2023 yang ditampilkan kali ini nyata berbeza dengan rekaan yang jauh lebih matang.
Honda mengesahkan HR-V baharu ini menggunakan platform daripada Honda Civic generasi ke-11, malah jarak antara roda juga dikatakan 127 mm lebih panjang berbanding HR-V sedia ada.

Ini bermakna, dari segi dimensi, HR-V 2023 jelas membawakan ukuran yang jauh lebih besar walaupun Honda tidak mendedahkan angka spesifik ukuran HR-V baharu ini.
Selain itu, HR-V 2023 dijangka membawakan penawaran enjin yang sama seperti model Civic, dengan versi asas 2.0 liter yang mampu menghasilkan 158 hp, atau versi 1.5 liter turbo dengan kuasa 180 hp.

Tiada sebarang kelibat gambar ruang kabin dibekalkan buat masa ini, namun Honda mengesahkan arah tuju rekaan bahagian tersebut akan mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh Honda Civic generasi kesebelas.
Honda juga dijangka akan membawa versi HR-V yang terbaharu ini untuk pasaran Eropah, namun dengan nama yang berbeza untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dengan model HR-V yang sudah pun dijual di sana.