Menurut laporan daripada Headlightmag, tiga varian ditawarkan termasuklah varian sporti RS, sementara harga jualan pula dianggarkan bermula dari 9xx,000 baht, atau bermula dari RM125 ribu.
Dari segi dimensi, Honda HR-V generasi baharu lebih besar berbanding HR-V terdahulu, membawakan ukuran sepanjang 4,385 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,590 mm dengan jarak antara roda 2,610 mm, sementara jarak kelegaan tanah pula meningkat kepada 196 mm.
Unit trenkuasa e:HEV pula terdiri daripada enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang bertindak sebagai unit penjana kuasa kepada dua motor elektrik dengan kuasa gandingan sebanyak 131 hp dan 253 Nm, di mana ia 22 hp lebih berkuasa berbanding model City e:HEV.
Sistem transmisi pula adalah jenis e-CVT.
Kesemua varian HR-V datang dengan kelengkapan keselamatan seperti enam beg udara, serta Honda SENSING yang merangkumi ciri seperti:
- sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS)
- sistem bantuan pengekalan laluan (LKAS)
- kawalan jelajah adaptif dengan ciri mengikut kelajuan rendah (LSF)
- sistem mitigasi keluar jalan (RDM)
- amaran keluar lorong (LDW)
- sistem notifikasi pergerakan kereta depan (LCDN)
- Honda LaneWatch (untuk dua varian tertinggi).
Dari segi luaran, Honda HR-V mendapat kelengkapan seperti lampu utama LED, lampu DRL LED, lampu kabus LED, bumbung kaca panoramik, gril krom rekaan sarang lebah, kemasan aksen merah pada bampar depan, rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 225/50, serta lampu belakang LED.
Sementara ruang kabin pula mendapat kemasan upholsteri kulit pada tempat duduk, sistem pendingin hawa automatik, corong pendingin hawa baris kedua, ciri ULTRA SEAT (Utility, Long, Tall, Refresh), slot pengecasan nirwayar, brek parkir elektrik, serta panel meter instrumen dengan skrin TFT bersaiz tujuh inci.
Sistem infotainmen pula terdiri daripada skrin bersaiz lapan inci, lapan pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth, serta turut menyokong Honda CONNECT.
Sumber: Headlightmag