Honda HR-V Facelift 2025 Kini Dibuka Untuk Tempahan di Malaysia

oleh Qalif Latif|
Honda Malaysia hari ini mendedahkan melalui laman media sosial rasmi mereka wajah facelift terbaharu Honda HR-V yang dijangka bakal memasuki pasaran tidak lama lagi.

Untuk pasaran Malaysia, Honda setakat ini hanya mendedahkan varian tertinggi RS e:HEV, yang tampil dengan wajah lebih agresif menyerupai model WR-V pasaran Jepun (dikenali sebagai Elevate di India). Ia turut dilengkapi spoiler bawah bampar dan kemasan hitam berkilat di bahagian bawah hadapan dan belakang.

Varian facelift ini turut menerima sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 8 inci baharu yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.

Tiga Pilihan Trenkuasa

Seperti sebelum ini, HR-V 2025 ditawarkan dengan tiga pilihan enjin:

  • 1.5L NA DOHC i-VTEC (L15B) sama seperti Honda City, menghasilkan 121 PS dan 145 Nm.

  • 1.5L VTEC Turbo menjana 181 PS dan 240 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm.

  • 1.5L e:HEV Hybrid (Atkinson cycle) dengan kuasa keseluruhan 131 PS dan tork 253 Nm, menggunakan motor elektrik sebagai pemandu utama dengan enjin sebagai generator dalam kebanyakan masa.

Kedua-dua enjin petrol NA dan turbo dipadankan dengan transmisi CVT automatik, memacu roda hadapan.

Ciri keselamatan juga tidak dilupakan. Honda Sensing terus ditawarkan sebagai standard, kini dengan tambahan lampu pemanduan adaptif dan lampu membelok aktif, meningkatkan tahap keselamatan pemanduan waktu malam.

Dua warna baharu turut diperkenalkan untuk model ini:

  • Phoenix Orange Pearl

  • Crystal Black Pearl

Pelancaran Rasmi Dijangka Suku Ketiga 2025

Setakat ini, tiada maklumat rasmi harga didedahkan oleh Honda Malaysia. Namun, pelancarannya dijangka berlangsung dalam suku ketiga tahun ini.

Dengan rekod jualan melebihi 170,000 unit dan status sebagai salah satu SUV paling popular di Malaysia, HR-V facelift 2025 ini bakal meneruskan legasi sebagai pilihan utama pengguna tempatan dalam segmen-B. Tempahan kini dibuka di semua 145 cawangan pengedar Honda di seluruh negara.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Dalam situasi sebegini, sebuah SUV yang cekap, selesa dan lengkap dengan teknologi moden memainkan…
Berita Domestik
Beliau berkata, kejadian di kawasan Cheras dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun…
Berita Domestik
Terdapat dua jenis isu berasingan melibatkan komponen pam bahan api yang dikesan: Pertama, pam…