Namun, China nampaknya mendahului pasaran-pasaran global dengan memperkenalkan model sedan baharu yang turut diberikan nama...Integra juga.
Jika anda rasa "macam pernah lihat model ini tapi di mana ya?", usah risau kerana ia sememangnya merupakan sebuah Honda Civic dengan rekaan depan dan belakang telah diubah sedikit untuk pasaran tersebut.

Berdasarkan informasi dan gambar dari laman web Kementerian Teknologi Informasi dan Industri China, Honda Integra 2022 ini sebenarnya merupakan kembar kepada Honda Civic 2022 dengan unit lampu yang lebih nipis, gril konvensional, serta liang kemasukan udara yang lebih kecil.
Unit lampu belakang pula tampil lebih sporti walaupun mengekalkan rekaan LED berbentuk L yang sama macam Civic 2022.
Disebabkan rekaan bampar baharu, Integra 2022 memiliki dimensi yang lebih panjang berbanding Civic 2022.
Ruang kabin juga turut menampilkan rekaan yang sama seperti Honda Civic 2022, termasuk skrin instrumen digital 10.2 inci, skrin infotainmen sembilan inci, serta rekaan elemen sarang lebah pada bahagian papan pemuka.
Kelengkapan seperti keselamatan dan enjin juga tidak banyak berubah berbanding model Civic 2022 yang asal.

Kenapa terdapat dua buah model yang sama, tapi membawakan nama yang berbeza?
Ini kerana Honda Civic sedan diproduksikan oleh Dongfeng Honda di Wuhan, sementara Honda Integra pula diproduksikan oleh Guangqi Honda di Guangzhou, di mana ia merupakan strategi yang biasa diamalkan oleh pengeluar global menerusi kolaborasi dengan syarikat tempatan yang berbeza.
Namun bagi para peminat Integra yang asli, usah risau kerana model yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan akan membawakan reka bentuk coupe yang lebih premium dan sporti walaupun diberitakan menggunakan platform Civic sedia ada.

Cuma, terdapat kemungkinan besar ia hanya akan dipasarkan untuk negara tertentu sahaja..